PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara bagi mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes jenayah SRC International Sdn Bhd (SRC).

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof yang mengetuai panel tiga hakim, dalam keputusan sebulat suara membenarkan permohonan empat responden untuk menolak rayuan Laidlaw untuk mewakili bekas perdana menteri itu.

Hakim memutuskan rayuan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam kes SRC adalah bersifat akademik, berikutan Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lepas serta Mac tahun ini telah mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.

Empat responden itu ialah Jabatan Peguam Negara (AGC), Badan Peguam, Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan.

Keputusan itu disampaikan secara dalam talian menerusi Zoom.

Panel itu memutuskan bahawa tidak dipertikaikan bahawa rayuan akhir Najib pada Ogos tahun lepas serta permohonan semakan pada Mac sudah diputuskan dengan muktamad.

"Permohonan Laidlaw untuk kemasukan bagi prosiding jenayah Najib dalam kes SRC, untuk rayuan serta semakan. Oleh itu, rayuan Laidlaw kini bersifat akademik," kata Hakim Zabariah.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Laidlaw manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram, masing-masing bagi pihak AGC dan pendakwaan.

Peguam Datuk Bastian Pius Vendargon dan Datuk Gurdial Singh Nijar hadir bagi pihak Badan Peguam dan Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur.

Pada 21 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir terhadap sabitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Sebelum ini, peguam Najib, Muhammad Shafee berkata Laidlaw akan mewakili Najib jika rayuannya didengar semula berhubung kes SRC di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Tinggi pada 2020 menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib. Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021.

Najib, 70, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman dan denda pada 23 Ogos tahun lepas.

Bekas perdana menteri itu kemudian memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan panel baharu Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya pada 31 Mac lepas.

-- BERNAMA