[TERKINI] Kes Zayn Rayyan: Ibu Dijatuhkan Hukuman Penjara – Ikuti Perkembangan di Sini!
MALAYSIA

Mahkamah putus Ismanira bersalah abai Zayn Rayyan

Umavathi Ramayah 31/10/2025 | 01:55 MYT
Ismanira ketika tiba di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat. - Astro AWANI/Shahir Omar
PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, didapati bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya yang merupakan seorang kanak-kanak autistik, dua tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Ismanira Abdul Manaf didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan, dua tahun lalu, selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
  • Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, telah dilepaskan, manakala Ismanira diperintah membela diri atas dakwaan pengabaian yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak mereka berusia enam tahun.
  • Kesalahan berlaku pada Disember 2023 di Damansara Damai dan tertakluk di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dengan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000, atau kedua-duanya.


Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Syahliza Warnoh, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh berusia 30 tahun itu di akhir kes pembelaan.

“Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes ini.

“Pada masa sama pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah. Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan sebagaimana dalam pertuduhan kes ini,” katanya ketika membacakan keputusan di sini, pada Jumaat.

Prosiding ketika ini masih berlangsung.

Pada 13 Jun tahun lalu, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengabaian terhadap anak mereka di Mahkamah Sesyen yang sama.

Namun, pada 21 Julai, mahkamah memerintahkan Ismanira membela diri, manakala Zaim dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, dan telah mengabaikannya dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran, antara jam 12 tengah hari pada 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokan harinya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.











#Zayn Rayyan Abdul Matin #Ismanira Abdul Manaf #bersalah #mengabaikan kanak-kanak