Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Mahkamah Rayuan benarkan GISB lanjut tempoh fail rekod rayuan

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) melanjutkan tempoh untuk memfailkan rekod rayuan dalam rayuannya berhubung fatwa Selangor. - Foto hiasan
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) melanjutkan tempoh untuk memfailkan rekod rayuan dalam rayuannya berhubung fatwa Selangor. - Foto hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan GISB Holdings Sdn Bhd melanjutkan tempoh memfailkan rekod rayuan berhubung fatwa Selangor.
  • Panel tiga hakim memerintahkan GISBH membayar kos guaman RM5,000 kepada Jabatan Peguam Negara kerana kelewatan memfailkan rekod rayuan.
  • Permohonan ini berkaitan fatwa yang mengisytiharkan GISBH menyeleweng daripada ajaran Islam dan melarang pengikutnya mengamalkan ajaran syarikat itu.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) melanjutkan tempoh untuk memfailkan rekod rayuan dalam rayuannya berhubung fatwa Selangor.

Peguam GISB Zulkikri Ulul Azmi memohon lanjutan tempoh itu semasa prosiding dengan memaklumkan bahawa rekod rayuan berkenaan difailkan lewat 27 hari.

Beliau berkata pihaknya tidak menyedari bahawa draf indeks belum dikemukakan, namun kesilapan itu telah dibetulkan.

Sehubungan dengan itu, panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun membenarkan permohonan itu serta memerintahkan GISB membayar kos guaman RM5,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Perayu mesti membayar RM5,000 kepada AGC serta-merta kerana anda telah melakukan kesilapan," kata Hakim Mohamed Zaini.

Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali yang mewakili AGC berkata pihak pendakwaan kekal dengan bantahannya dalam permohonan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya mahkamah berhasrat membenarkan lanjutan tempoh berkenaan, AGC akan memohon kos.

Permohonan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Jan lepas yang menolak permohonan GISBH untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Hakim Mahkamah Tinggi S. Narkunavathy menolak permohonan kebenaran itu selepas membenarkan bantahan awal oleh AGC bahawa fatwa tersebut tidak boleh tertakluk kepada semakan kehakiman berdasarkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Narkunavathy berkata di bawah Perkara 121(1A), mahkamah sivil secara jelas dilarang menjalankan bidang kuasa terhadap sebarang perkara yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Beliau berkata kes itu melibatkan pertikaian berkaitan ajaran Islam, yang bukannya perkara yang perlu diputuskan oleh mahkamah sivil.

Dalam permohonan semakan kehakiman, GISBH memohon perintah certiorari untuk membatalkan fatwa yang diterbitkan pada 14 Okt 2024 dan diwartakan pada 16 Okt 2024, yang mengisytiharkan GISB sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan melarang pengikutnya mengamalkan kepercayaan, ajaran dan doktrinnya.

GISB turut memohon pengisytiharan bahawa fatwa itu tidak terpakai terhadap syarikat berkenaan yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

GISB menamakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor sebagai responden.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement