[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 7 tahun penganggur tetak bekas Ketua Polis Besut

Bernama 10/09/2025 | 10:45 MYT
Mohd Nasli (kiri) disabitkan kesalahan mencederakan Mohd Zamri dengan menetak kepala mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah pada kepala serta putus ibu jari. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang penganggur kerana mencederakan bekas Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi, dengan menetak kepala mangsa menggunakan sebilah parang enam tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman penjara 7 tahun terhadap Mohd Nasli Mohd Nasir, 39, kerana menetak bekas Ketua Polis Daerah Besut dengan parang pada 2019.
  • Rayuan ditolak kerana pembelaan tidak waras gagal dibuktikan, mahkamah sahkan tertuduh waras semasa kejadian dan hukuman Mahkamah Sesyen adalah setimpal.
  • Kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan melibatkan kecederaan parah pada kepala mangsa dan putus ibu jari kanan, dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara.


Keputusan itu dibuat panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Mohamed Zaini Mazlan selepas menolak rayuan akhir Mohd Nasli Mohd Nasir, 39, terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 2022.

Berdasarkan alasan penghakiman bertarikh kelmarin, Che Mohd Ruzima berkata mahkamah mendapati hakim Mahkamah Sesyen telah mengambil kira semua keadaan termasuk tahap mental perayu (Mohd Nasli) sebelum menjatuhkan hukuman setimpal, dan keputusan itu disahkan Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, perayu hanya merayu terhadap hukuman dan alasan utama rayuan adalah mengenai tahap kewarasan perayu yang menghidap skizofrenia.

Che Mohd Ruzima menjelaskan bahawa pembelaan tidak waras menurut Seksyen 84 Kanun Keseksaan adalah pembelaan mutlak yang membolehkan tertuduh terlepas daripada tanggungjawab jenayah sekiranya berjaya dibuktikan.

"Dalam perbicaraan, perayu tidak mencapai tahap Seksyen 84 ini dan didapati waras semasa melakukan kesalahan tersebut. Hakim bicara tidak terkhilaf serta telah mempertimbangkan kepentingan perayu, keadaan mentalnya dan kepentingan awam ketika menjatuhkan hukuman.

"Kami dapati hakim bicara telah meneliti semua faktor secara memuaskan sebelum menetapkan hukuman. Hukuman adalah sesuai dan tidak melampau. Oleh itu, tiada sebab untuk mengganggu keputusan mahkamah bawahan," katanya ketika menyampaikan keputusan pada 5 Ogos lepas.

Mohd Nasli disabitkan kesalahan mencederakan Mohd Zamri dengan menetak kepala mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah pada kepala serta putus ibu jari tangan kanan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Cordoba Residence, Padang Luas, Jerteh, Besut kira-kira 12.30 tengah hari pada 15 Ogos 2019, mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh kejadian Mohd Zamri yang juga jiran perayu mendapati pokok kelapa ditanam di tepi jalan di hadapan rumahnya telah dicabut dan dibuang ke halaman rumah.

Perayu yang tiba dengan sebuah kenderaan kemudian mempertikaikan penanaman pokok kelapa itu dan mengarahkan mangsa mendapatkan kebenaran sebelum menanamnya.

Tidak berpuas hati, perayu memarahi Mohd Zamri sebelum keluar dari kenderaan dan mengejar mangsa lalu menetak kepalanya dengan parang.

Ketika perayu menetak buat kali kedua, tangan mangsa yang cuba menahan serangan turut cedera sehingga menyebabkan ibu jari kanan putus.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir selaku responden manakala perayu diwakili peguam Datuk Mohd Yazid Mustafa.

-- BERNAMA




#Mahkamah Rayuan #hukuman kekal #Mohd Nasli Mohd Nasir #tetak bekas Ketua Polis Besut