[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Mahkamah rayuan kekal keputusan beri kewarganegaraan kepada enam sekeluarga

Bernama 26/11/2025 | 14:12 MYT
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada enam individu tanpa kerakyatan daripada sebuah keluarga merangkumi tiga generasi. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada enam individu tanpa kerakyatan daripada sebuah keluarga merangkumi tiga generasi.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu selepas menolak tanpa kos rayuan Pendaftar Kelahiran dan Kematian, Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia.

Mohd Nazlan, yang menyampaikan keputusan itu secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, berkata K. Kamaladevi, dua anak serta tiga cucunya telah berjaya membuktikan kes mereka untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1) (b) dibaca bersama Seksyen 1(a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

"Berdasarkan keseluruhan keterangan, responden (Kamaladevi, dua anak dan tiga cucunya), berdasarkan imbangan kebarangkalian, telah membuktikan bahawa mereka memenuhi syarat di bawah Seksyen 1 (a) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan bahawa seorang daripada ibu bapa mereka adalah warganegara Malaysia," katanya.

Beliau juga berkata tiada apa-apa dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang menetapkan keperluan memiliki kad pengenalan sebagai prasyarat bagi pendaftaran perkahwinan atau melarang perkahwinan dengan individu tanpa kerakyatan.

Mohd Nazlan berkata tiada sebarang kekhilafan dalam penghakiman Mahkamah Tinggi yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Pada Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi telah membenarkan saman keluarga itu dan mengisytiharkan bahawa mereka berhak memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

Mahkamah Tinggi turut memutuskan bahawa Kamaladevi serta anak perempuannya berhak mendaftarkan perkahwinan mereka di bawah undang-undang Malaysia, dan individu tanpa kerakyatan di Malaysia berhak mendaftarkan perkahwinan mereka menurut undang-undang Malaysia walaupun tidak memiliki kad pengenalan Malaysia.

Kisah Kamaladevi bermula sejak zaman datuk neneknya yang lahir di Tanah Melayu sebelum pembentukan Malaysia pada 1963 dan pasangan itu mempunyai dua anak iaitu K. Vathumalai dan K. Letchimee melalui perkahwinan adat.

Letchimee berdepan masalah dengan dokumen rasmi selepas bapa tirinya menggadai sijil kelahiran beliau ketika dia masih kanak-kanak, yang hanya diperoleh semula oleh abangnya beberapa tahun selepas itu.

Letchimee kemudian berkahwin secara adat dengan seorang lelaki Malaysia dan dikurniakan tiga anak termasuk Kamaladevi namun tidak dapat mendaftarkan perkahwinan dengan JPN kerana beliau tidak memiliki kad pengenalan ketika itu.

Kamaladevi mendakwa Letchimee sepatutnya memperoleh kad pengenalan Malaysia namun tidak sempat mengambilnya daripada JPN sebelum meninggal dunia.

Kamaladevi berkata dia juga tidak dapat mendaftarkan perkahwinannya dengan seorang lelaki warganegara Malaysia kerana tidak mempunyai kad pengenalan, menyebabkan anak-anak dan cucunya yang dilahirkan di Malaysia menjadi individu tanpa kerakyatan.

Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Norazlinawati Mohd Arshad hadir bagi pihak Pendaftar Kelahiran dan Kematian, Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, Ketua Pengarah JPN, Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia manakala peguam New Sin Yew dan Shugan Raman mewakili ahli keluarga berkenaan.

Sin yew memaklumkan media bahawa keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa individu tanpa kerakyatan berhak berkahwin di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, dan bahawa ketiadaan kad pengenalan, dokumen yang tidak dimiliki oleh individu tanpa kerakyatan, bukanlah penghalang untuk mereka berkahwin.

-- BERNAMA


#Mahkamah Rayuan #kekal keputusan #Mahkamah Tinggi #kewarganegaraan