GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Mahkamah Rayuan: Pegawai penyiasat tidak wajib hadir semasa prosiding reman

Bernama 03/10/2025 | 15:00 MYT
Hakim Mohamed Zaini berkata tafsiran yang rigid terhadap Seksyen 117 KPJ akan menjejaskan kecekapan operasi pasukan polis dan akhirnya menghalang proses siasatan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menghendaki pegawai penyiasat hadir secara fizikal semasa prosiding reman bagi suspek yang sedang disiasat.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azman Abdullah, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memutuskan bahawa kehadiran pegawai penyiasat tidak diwajibkan di bawah undang-undang.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Mohamed Zaini berkata di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), tugas statutori pegawai penyiasat adalah untuk menyerahkan salinan catatan diari polis yang berkaitan kepada Majistret dan memastikan suspek dibawa ke hadapan mahkamah.

"Seksyen 117 KPJ tidak secara nyata atau secara tersirat mewajibkan pegawai penyiasat bagi sesuatu kes untuk hadir sendiri dan mengemukakan permohonan reman," katanya.

Mohamed Zaini berkata ketiadaan pegawai penyiasat semasa prosiding reman tidak menjejaskan kebebasan suspek atau menafikan hak perlembagaan di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata keperluan suspek dibawa ke hadapan Majistret, kewajipan menyerahkan catatan diari yang berkaitan serta tugas Majistret untuk merekodkan alasan bertulis jika reman diberikan, secara kolektif berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap sebarang penyalahgunaan kuasa.

Mohamed Zaini berkata Majistret bukan sekadar bertindak sebagai rubber stamps atau pak turut dan keputusan mereka dibuat berdasarkan kecukupan dan kredibiliti siasatan, bukan semata-mata kehadiran fizikal pegawai penyiasat.

Beliau juga berkata pegawai penyiasat sering ditugaskan mengendalikan pelbagai kes serentak dan mungkin perlu menghadiri prosiding mahkamah sebagai saksi, justeru mereka mungkin tidak dapat hadir ke prosiding reman disebabkan oleh tugas lain, latihan rasmi atau keadaan yang tidak dijangka.

Mohamed Zaini berkata memandangkan keperluan perlembagaan untuk membawa suspek ke hadapan Majistret dalam tempoh 24 jam selepas tangkapan, maka tidak praktikal dan membebankan jika hanya pegawai penyiasat yang ditugaskan secara langsung untuk kes berkenaan sahaja yang perlu mengendalikan prosiding reman di Mahkamah Majistret.

Hakim Mohamed Zaini berkata tafsiran yang rigid terhadap Seksyen 117 KPJ akan menjejaskan kecekapan operasi pasukan polis dan akhirnya menghalang proses siasatan.

Kes ini timbul apabila dua suspek dibawa ke hadapan Majistret untuk prosiding reman di bawah Seksyen 117 KPJ pada 6 Mei tahun ini, dengan seorang sarjan mejar mewakili pegawai penyiasat semasa prosiding berkenaan. Pegawai penyiasat tidak dapat hadir ke prosiding kerana terlibat dengan perkara berkaitan kes lain.

Majistret membenarkan permohonan polis untuk menahan reman kedua-dua suspek selama dua hari.

Pada hari berikutnya, suspek memohon semakan di Mahkamah Tinggi yang memutuskan reman berkenaan tidak sah kerana ketiadaan pegawai penyiasat, menyebabkan pihak pendakwaan membuat rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin mengetepikan perintah reman Majistret dengan menyatakan bahawa istilah "polis yang menjalankan siasatan" dalam Seksyen 117 (1) KPJ mesti merujuk secara khusus kepada pegawai penyiasat.

Suspek berumur 41 dan 31 tahun itu sedang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Mereka kini telah didakwa di mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin, Zaki Asyraf Zubir dan Zander Lim Wai Keong mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Collin Arvind Andrew mewakili kedua-dua suspek.

-- BERNAMA


#Mahkamah Majistret #prosiding reman #diari polis #Pegawai Penyiasat