MALAYSIA
Mahkamah tangguh keputusan rayuan Najib untuk hidupkan saman terhadap Tommy Thomas

Najib mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasa dalam jawatan awam ketika mendakwanya dalam kes berkaitan 1MDB. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk menghidupkan semula tuntutan saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas.
Ringkasan AI
- Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan Najib untuk menghidupkan semula tuntutan saman RM1.9 juta terhadap Tommy Thomas, dengan pengurusan kes ditetapkan pada 15 Oktober.
- Najib mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasa dalam jawatan awam ketika mendakwanya dalam kes berkaitan 1MDB dan menuntut ganti rugi termasuk kos rundingan pasukan audit, namun Mahkamah Tinggi sebelum ini membatalkan saman tanpa perbicaraan penuh.
- Peguam Najib berhujah bahawa Thomas tidak mempunyai kekebalan mutlak dan isu saman membabitkan kepentingan awam, manakala peguam Thomas menegaskan saman itu tidak boleh diadili kerana tiada butiran khusus menunjukkan kecuaian atau penyalahgunaan kuasa.
Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Nov 2022 yang membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan samannya tanpa perbicaraan penuh.
Dalam samannya, Najib mendakwa Thomas melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terdahulu, Firoz Hussein berhujah bahawa anak guamnya telah dinafikan hak untuk membalas dan menangkis perkara yang diteliti oleh Mahkamah Tinggi, yang tidak pernah dibangkitkan oleh mana-mana pihak sepanjang perbicaraan kes itu.
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa Thomas mempunyai kekebalan mutlak sebagai AG.
"Terdapat banyak keputusan di Malaysia dan bidang kuasa lain yang memutuskan bahawa AG boleh dipertanggungjawab sekiranya menyalahgunakan kuasa," katanya sambil menambah bahawa isu di hadapan mahkamah turut membabitkan kepentingan awam.
Alan pula berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan bahawa saman itu boleh dibatalkan atas alasan ia tidak boleh diadili mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata unsur cuai dan salah guna dalam tuntutan bagi misfeasans dalam jawatan awam memerlukan penentuan sama ada responden (Thomas) ketika mengemukakan pertuduhan telah menyalahgunakan kuasanya, atau cuai atau tidak peduli sama ada tindakan itu menjejaskan perayu.
"Perkara-perkara ini secara langsung adalah berkaitan dengan merit kes. Malah, tiada butiran khusus dalam pernyataan tuntutan yang menjelaskan bagaimana responden cuai atau menyalahgunakan kuasanya," katanya.
Menerusi saman itu, Najib mendakwa telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Thomas menyandang jawatan sebagai AG dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.
Najib memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menghadapi pendakwaan terhadapnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami