KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menetapkan 9 Mei depan untuk keputusan permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagi mendapatkan rakaman percakapan 18 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam perbicaraan kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendengar hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan.

Terdahulu, peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik ketika berhujah memberitahu, kenyataan saksi-saksi itu penting dalam memberikan perbicaraan yang adil untuk anak guamnya.

Menurut beliau, jika tidak, pihak pembelaan akan diletakkan dalam keadaan tidak menentu tanpa diberi akses kepada kenyataan saksi.

Bagaimanapun dalam hujah balas, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Toran memaklumkan, kenyataan saksi adalah diklasifikasikan sebagai dokumen terlindung dan justeru adalah tidak wajar ia dikongsi kepada pihak pembelaan.

"Kami sudah menawarkan saksi-saksi berkenaan kepada pasukan pembelaan dan mereka boleh menemu bual saksi-saksi terbabit pada bila-bila masa. Bukan kami menyembunyikan mereka.

"Pemohon tahu peranan setiap saksi. Tidak timbul isu ketidakadilan atau malafide (usaha pembunuhan karakter berunsur jahat)," katanya di sini, hari ini.

Pada 24 Januari lalu, mahkamah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Pihak pembelaan akan memanggil kira-kira 20 saksi untuk memberi keterangan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dari 2015 hingga 2018, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Ahmad Zahid, 69, didakwa atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Beliau juga juga berdepan dengan 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara.

Perbicaraan kes pembelaan beliau diawalkan bermula 13 April ini selepas dimaklumkan Ahmad Zahid akan mengerjakan umrah hujung bulan ini.