MALAYSIA

Mahkamah Tinggi isytihar perbicaraan Rewcastle-Brown tanpa kehadiran tertuduh tidak sah

Bernama 14/12/2025 | 08:31 MYT
Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengisytiharkan perbicaraan secara tanpa kehadiran tertuduh terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang sebelum ini dijalankan oleh Mahkamah Majistret, sebagai perbicaraan tidak sah.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengisytiharkan perbicaraan tanpa kehadiran Clare Rewcastle-Brown sebagai tidak sah, membatalkan sabitan dan hukuman sebelum ini.
  • Mahkamah memerintahkan perbicaraan semula di hadapan majistret baharu tanpa kehadiran tertuduh, dengan panggilan semula saksi-saksi pendakwaan.
  • Peguam Rewcastle-Brown menyatakan pertuduhan jenayah memerlukan kehadiran tertuduh di mahkamah, dan proses ekstradisi anak guamnya sukar dilaksanakan.


Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Radzi Harun dalam penghakimannya berkata dengan keputusan itu, sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini dibatalkan.

"Disebabkan mahkamah ini telah mengisytiharkan perbicaraan tidak sah, pertuduhan terhadap rayuan (Rewcastle-Brown) masih kekal dan prinsip jenayah autrefois acquit (sudah dibebaskan dahulu), autrefois convict (sudah dihukum dahulu) tidak terpakai bagi pihak rayuan," katanya.

Beliau menambah, melainkan pendakwa raya awam membuat keputusan sebaliknya dalam kuasanya, mahkamah memerintahkan kes ini disebut semula di hadapan majistret baharu dengan tujuan agar perbicaraan semula dijalankan terhadap pertuduhan yang sama ke atas Rewcastle-Brown.

Mohd Radzi turut memerintahkan majistret perbicaraan semula memanggil semula saksi-saksi pendakwaan dan merakamkan keterangan mereka walaupun tanpa kehadiran tertuduh.

Pendakwaan hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azizan Abdullah, Mohd Khairuddin Idris dan Nor Aishah Mohamad, manakala Rewcastle-Brown yang tidak hadir diwakili peguam Guok Ngek Seong.

Pada 7 Feb 2024, Rewcastle-Brown dijatuhkan hukuman penjara dua tahun secara tanpa kehadiran tertuduh oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas didapati bersalah memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri memerintahkan hukuman penjara ke atas Rewcastle-Brown, 66, bermula dari tarikh sabitan.

Beliau kemudian mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bagi membatalkan sabitan dan hukuman tersebut.

Sementara itu, Ngek Seong ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata mahkamah juga telah bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan sebelum ini yang antara lain menyatakan bagi mana-mana pertuduhan jenayah, tertuduh perlu dibawa ke mahkamah untuk dituduh.

"Selepas itu, jika tertuduh tidak hadir sebelum atau semasa bicara, mahkamah akan menentukan sama ada adil atau tidak untuk meneruskan secara in absentia... itu yang kita bangkitkan sebelum ini," katanya.

Apabila ditanya mengenai kehadiran anak guamnya pada perbicaraan semula di Mahkamah Majistret, Ngek Seong berkata beliau tidak pasti kerana proses ekstradisi pengarang wanita itu sukar dilaksanakan berikutan percanggahan undang-undang antara Malaysia dan United Kingdom.

-- BERNAMA












#perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh #Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu #editor Sarawak Report #Clare Rewcastle-Brown #terkini #fitnah #Sultanah Terengganu