Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah kerana gagal hadir pada prosiding komital difailkan bekas Menteri Industri Utama,Teresa Kok Suh Sim terhadapnya.

Peguam, Datuk Sankara Nair, yang mewakili Teresa Kok, memberitahu media bahawa keputusan itu dibuat oleh Hakim Datin Rohani Ismail yang bersetuju dengan permohonannya supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Azwanddin selepas beliau ingkar pada arahan mahkamah untuk hadir pada prosiding pendengaran permohonan komital berkenaan.

Hakim itu membuat keputusan dalam kamarnya. Azwanddin tidak diwakili peguam.

Permohonan komital itu difailkan berikutan Azwanddin telah melanggar terma penghakiman persetujuan dalam kes saman fitnah dikemukakan Teresa terhadapnya yang telah diselesaikan secara baik, tahun lalu.

Azwanddin didakwa gagal mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar serta membayar kos kepada menteri itu dalam tempoh 45 hari bermula daripada tarikh penyelesaian kes pada 29 Julai, 2019. - Bernama

Sankara berkata, defendan (Azwanddin) sepatutnya tahu mengenai prosiding hari ini kerana surat pemberitahuan telah dihantar kepadanya sebelum tarikh pendengaran prosiding komital itu.

"Setiap kali mahkamah memberi tarikh (pendengaran) baharu, beliau (Azwanddin) ingkar pada arahan. Ada sekali beliau hadir (ke mahkamah) dan ada juga beliau kemukakan MC (sijil cuti sakit) dan kadangkala beliau terus diam.

"Kami juga cuba menghubunginya, namun gagal. Saya terpaksa buat permohonan untuk waran tangkap dikeluarkan terhadapnya," kata peguam itu.

Sankara berkata, mahkamah kemudiannya menetapkan 25 September ini untuk mendengar permohonan prosiding komital berkenaan.

Teresa Kok, selaku plaintif memfailkan permohonan itu pada 8 Oktober tahun lalu berikutan Azwanddin tidak melaksanakan terma penghakiman persetujuan kes itu iaitu perlu mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily serta membayar kos.

Azwanddin bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga akhbar berkenaan, membayar kos serta menarik balik ucapan yang telah diterbitkan semula olehnya di media sosial selepas kes itu diselesaikan secara baik.

Teresa Kok selaku plaintif memfailkan saman itu pada 8 Januari 2019 dengan mendakwa Azwanddin sebagai presiden JMM ketika itu telah menyampaikan ucapan yang antara lain mengandungi perkataan berunsur fitnah secara lisan, fitnah bertulis dan pembohongan dalam satu perhimpunan di Dataran Seni Klang, Selangor pada 25 Disember 2018.

Kes saman itu berhubung ucapan dan kenyataan Azwanddin yang didakwa Teresa mengaitkannya dalam insiden kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya.