Mahkamah Tinggi Kuching tolak saman isytihar MA63 batal dan tidak sah

Bernama
Mei 25, 2023 11:40 MYT
Menurut hakim, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini telah menetapkan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia. - Gambar hiasan
KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini menolak saman sivil yang dikemukakan 12 rakyat Sarawak yang memohon untuk mengisytiharkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai terbatal dan tidak sah.
Hakim Alexander Siew How Wai dalam penghakimannya berkata saman yang difailkan oleh plaintif yang diwakili peguam utama Voon Lee Shan, adalah tidak kukuh.
"Plaintif tidak mempunyai locus standi berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Setakat ini isu-isu yang melibatkan Sarawak, Kerajaan Sarawak memerlukan locus standi," katanya.
Menurut hakim Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara ini telah menetapkan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Malaysia, dan kedua-dua negeri tidak boleh terhenti daripada menjadi sebahagian daripada Persekutuan tanpa pindaan yang diperlukan dalam perlembagaan, yang memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen.
"Mahkamah ini tidak boleh mengabaikan atau menulis semula Perlembagaan Persekutuan yang mahkamah melakukan kesalahan jika mahkamah membenarkan pengisytiharan yang dipohon dalam saman ini," katanya.
Mahkamah juga memerintahkan plaintif membayar kos RM10,000 kepada kerajaan Persekutuan dan Sarawak yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan Persekutuan manakala Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Datuk Seri J C Fong mewakili kerajaan negeri.
Plaintif terdiri daripada Dorus Katan Juman @ Theodorus Katan, Hugh Lawrence Zehnder, Xavier Ginafah Sidop, Jemain Uji, Belayong Nyandang, Kalai Sibok, Yu Chin Liik, Chieng Kung Chiew, Changieng Mapang, Ahmad Awang Ali, Alim @ Giovanni Adlim Mideh dan Nor Nyawai memfailkan saman itu pada November 2011.
-- BERNAMA
#Mahkamah Tinggi KUching #Perjanjian Malaysia 1963 #MA63 #rakyat Sarawak