KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Seremban pada Jumaat membenarkan permohonan injunksi ad interim yang menghalang Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) daripada diadakan serta menghalang sebarang tindakan menyingkirkan setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin sehingga tindakan undang-undang yang difailkan diputuskan mahkamah.
Memetik laporan media tempatan, perintah itu dikeluarkan Hakim Roz Mawar Rozain selepas membenarkan permohonan yang difailkan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin dan DKU, sekali gus mengekalkan status quo badan itu sehingga saman pemula diputuskan oleh mahkamah.
Perintah sementara mahkamah itu menghalang plaintif (bagi saman pemula) sama ada secara langsung atau melalui wakil mereka daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat DKU termasuk Sidang Khas yang dijadual berlangsung pada Jumaat.
Selain itu, plaintif juga dilarang menggantung, menyingkirkan, menggantikan atau mengganggu Raja Norazli dalam melaksanakan tugasnya sebagai setiausaha DKU.
Plaintif dalam kes itu ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; dan Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
Mahkamah turut memerintahkan supaya tiada jawatankuasa, individu atau badan lain ditubuhkan atau diberikan kuasa untuk mengambil alih fungsi serta bidang kuasa setiausaha DKU.
Raja Norazli dan DKU diwakili barisan peguam terdiri daripada Steven Thiru, David Dinesh Mathew, Shafrin Halim, Gregory Das dan Gurjeevan Singh.
Plaintif pula diwakili Awang Armadajaya, Datuk Rhiza Ghazi dan Asmawi Ismail, manakala defendan ketiga diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal bersama Aala'uddin Baharom.