MALAYSIA

Mahkamah Tinggi tolak permohonan GISB cabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis

Bernama 16/01/2026 | 09:53 MYT
Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman difailkan GISB dan CEO Nasiruddin Mohd Ali, terhadap keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis yang memutuskan pegangan kumpulan GISB mengandungi unsur ajaran sesat. - Gambar fail/REUTERS
KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman difailkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) dan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) GISBH Nasiruddin Mohd Ali, terhadap keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang memutuskan pegangan kumpulan GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi menolak permohonan GISB Holdings Sdn Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif mereka untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengatakan pegangan kumpulan itu mengandungi unsur ajaran sesat.
  • Hakim menyatakan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula fatwa tersebut yang dikeluarkan berdasarkan prerogatif Raja Perlis.
  • Fatwa tersebut dikeluarkan berdasarkan pemahaman, ajaran, dan kepercayaan dalam GISB yang dianggap bertentangan dengan ajaran agama Islam, menyebabkan mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman.


Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas berkata sesuatu fatwa yang dikeluarkan jawatankuasa fatwa itu, dibuat oleh pakar dalam perkara berkaitan undang-undang syariah dan bersandarkan kepada Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

"Ia dengan jelas menegaskan bahawa mahkamah ini sebagai mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa, memandangkan ia berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Selain itu, Mohamad Abazfree berkata mahkamah itu juga tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula fatwa tersebut yang dibuat menurut prerogatif Raja Perlis.

Beliau berkata memperkenankan sesuatu fatwa merupakan satu kuasa prerogatif Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Ketua Agama Islam yang berbeza dengan fungsi legislatif Raja Perlis dalam memperkenankan sesuatu Rang Undang-Undang.

"Apa yang diperlukan oleh undang-undang bukanlah suatu proses biasa, namun ia bertujuan mengukuhkan institusi diraja sebagai penaung dan Ketua Agama Islam di negeri Perlis. Ia adalah tindakan penting yang mempunyai kesan mengubah suatu deraf fatwa menjadi satu fatwa yang mengikat setiap orang Islam di negeri Perlis sebaik sahaja ia disiarkan dalam Warta.

"Sehubungan itu, mahkamah ini merumuskan bahawa ia menujukkan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengkaji semula fatwa tersebut yang dibuat menurut prerogatif Tuanku Raja Perlis. Ia menjadikan mahkamah ini tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan cabaran terhadapnya," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengeluarkan fatwa berkaitan pegangan kumpulan GISB yang difatwakan sebagai fahaman bersifat batiniah, menyeleweng dan sesat pada 14 Okt 2024.

Sebelum itu, pada 20 Sept 2024, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu kenyataan memaklumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang berlangsung pada tarikh itu, memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis itu dipetik sebagai berkata ia juga kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Hakim Mohamad Abazafree berkata pertimbangan mahkamah ke atas fatwa itu mendapati inti pati fatwa itu berkaitan pemahaman, ajaran, kepercayaan atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB dan rangkaiannya mempunyai penyelewengan unsur yang sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam.

"Oleh itu, fatwa tersebut dibuat untuk menyekat orang Islam daripada mengamalkan amalan, kefahaman, ajaran, kepercayaan tersebut atau mana-mana amalan, kefahaman, ajaran, kepercayaan yang mempunyai persamaan dengannya.

"Apabila kedua-dua pemohon berhasrat mencabar fatwa tersebut, maka mahkamah merumuskan kedua-dua pemohon berpendapat, dapatan dibuat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis adalah tidak tepat atau dengan kata lain pemahaman, ajaran, kepercayaan atau amalan pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB dan rangkaian mereka selaras dengan ajaran sebenar Islam," katanya.

Hakim Mohamad Abazafree berkata itu jelas bermakna kedua-dua pemohon berkenaan pada dasarnya adalah mencabar inti pati fatwa tersebut.

Hakim itu berkata sekiranya mahkamah memberikan kebenaran permohonan itu, maka mahkamah perlu memulakan prosiding yang sukar untuk menentukan isu berkaitan akidah Islam termasuk sejarah, prinsip kajian perbandingan, tafsiran al-Quran dan riwayat kenabian dan prinsip amalan.

Beliau berkata ia bagi maksud untuk menjawab sama ada pegangan diamalkan ahli GISB dan rangkaian mereka selaras dengan Islam ataupun sebaliknya, dan selepas itu memutuskan sama ada pemohon berhak ataupun tidak mendapat pelepasan diminta.

"Sehubungan itu, mahkamah ini sebagai mahkamah sivil bukanlah forum untuk menentukan perkara ini dan ia berbalik kepada salah satu raison d'etre di sebalik Fasal (1A) dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

"Iaitu hanya mereka yang benar-benar berilmu dan memiliki tahap kepakaran yang mencukupi dalam perkara tersebut hendaklah diberikan tanggungjawab untuk memutuskan perkara tersebut. Pihak yang diiktiraf secara sah mempunyai kepakaran ini ialah semestinya Mahkamah Syariah," katanya.

Pada prosiding itu, kedua-dua pemohon itu diwakili peguam Zulfikri Ulul Azmi manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali dan Peguam Persekutuan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki mewakili Peguam Negara yang membantah permohonan tersebut.

-- BERNAMA

#Jawatankuasa Fatwa Perlis #GISB #Nasiruddin Mohd Ali #seaman kehakiman