Perdana Menteri telah membentangkan RMK13 hari ini. Dapatkan intipati utama di sini
MALAYSIA

Mahkamah tolak permohonan Anwar rujuk persoalan PM kebal daripada saman

Astro Awani 04/06/2025 | 08:30 MYT
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan tersebut selepas mendapati tiada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, menimbulkan persoalan perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi tolak permohonan Anwar Ibrahim: Permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk persoalan imuniti seorang Perdana Menteri, ditolak kerana tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
  • Tiada imuniti peribadi untuk Perdana Menteri: Hakim Roz Mawar menegaskan bahawa Perkara 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa eksekutif dan bukan imuniti peribadi terhadap saman sivil.
  • Perbicaraan akan diteruskan: Hakim menyatakan bahawa Anwar telah menyatakan kesediaan untuk meneruskan perbicaraan dan saman itu tidak menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.


Ia termasuk sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai kekebalan daripada tindakan saman.

Rujukan persoalan undang-undang itu berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual, yang didakwa berlaku tujuh tahun lalu.

Memetik laporan BERNAMA, Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

“Dari sudut kehakiman, persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang tulen,” katanya.

Lapan persoalan undang-undang itu termasuk sama ada, di bawah Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

Hakim Roz Mawar dalam alasan ringkas penghakimannya berkata lapan persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pihak pembelaan adalah bersifat spekulatif, tidak relevan untuk penyelesaian kes ini dan tidak melibatkan tafsiran atau kesahihan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai dakwaan imuniti, beliau menegaskan bahawa Perkara 39, 40 dan 43 yang dirujuk oleh pihak defendan adalah peruntukan struktur berkaitan kuasa eksekutif dan bukan peruntukan yang memberi imuniti peribadi kepada seseorang Perdana Menteri.

“Tiada perlindungan secara jelas atau tersirat terhadap liabiliti sivil dalam Perlembagaan. Ketiadaan peruntukan imuniti perlu ditafsirkan sebagai prinsip kesaksamaan dalam pertanggungjawaban undang-undang.

“Perkara-perkara yang dirujuk oleh pasukan guaman defendan tidak beroperasi dalam konteks permohonan rujukan Perlembagaan ini,” katanya.

Hakim Roz Mawar turut menolak hujah pihak defendan bahawa tindakan membenarkan saman sivil berdasarkan dakwaan salah laku sebelum pelantikan boleh menjejaskan keupayaan Perdana Menteri menjalankan fungsi eksekutif.

Beliau menjelaskan Perkara 43 tidak memperuntukkan sebarang imuniti kerana ia hanya menyentuh aspek pelantikan dan tempoh jawatan, tanpa menyatakan perlindungan daripada prosiding kehakiman.

“Pertama, tiada imuniti yang tersirat dalam Perkara 43. Perkara ini hanya berkaitan pelantikan dan tempoh jawatan dan tidak mengandungi sebarang peruntukan atau implikasi imuniti daripada prosiding kehakiman,” katanya.

Hakim turut menyatakan bahawa defendan (Anwar) sudah menyatakan kesediaan untuk meneruskan perbicaraan, dan tiada bukti menunjukkan saman itu menjejaskan keupayaannya melaksanakan tugas perlembagaan.





#Anwar Ibrahim #Mahkamah Tinggi #Yusoff Rawther #terkini #imuniti #saman