KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri untuk dilepas tanpa dibebaskan daripada empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendapati pertuduhan tersebut boleh diperbaiki dan tidak memprejudiskan Datuk Seri Sim Choo Thiam, 53, selaku pemohon.

"Selepas meneliti segala kertas kausa, permohonan pemohon (Sim) untuk mengetepikan empat pertuduhan ditolak," katanya.

Mahkamah juga menolak permohonan pemohon supaya pendakwa raya selaku responden menyerahkan kepadanya pernyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Sim.

Sim yang memfailkan permohonan itu pada 4 Julai lepas, memohon supaya beliau dilepas tanpa dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu kerana pendakwa raya telah melanggar kewajipan statutori mereka di bawah Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan siasatan kes itu tidak lengkap.

Ahli perniagaan itu juga memohon, supaya responden menyerahkan kepadanya pernyataan bertulis fakta yang memihak kepada pembelaan, di bawah Seksyen 51A (1)(c) KTJ dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah.

Menurut Sim, fakta yang memihak kepada pembelaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya merekodkan kenyataan bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin pada petang 10 Mei, selepas beliau didakwa pada hari yang sama.

Perbicaraan kes itu telah ditetapkan selama 10 hari bermula 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Mei 2024 dan pihak pendakwaan akan memanggil 20 saksi untuk memberi keterangan.

Sim didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Hamzah yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN.

Sim juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Hep), sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan di kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA