Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang RM100,000 didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita daripada Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM).

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwa raya selaku pemohon gagal menunjukkan wang RM100,000 yang disita itu keseluruhannya atau sebahagiannya adalah berasal daripada pembayaran oleh Datuk Seri Najib Razak kepada PBAKM selaku responden.

"Pemohon juga gagal untuk menunjukkan wang mana daripada RM100,000 yang disita itu adalah pembayaran daripada Najib atau yang mana daripada sumber-sumber yang lain," kata hakim itu.

Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata, mahkamah berpendapat wang RM100,000 yang disita dan hendak dilucut hak oleh pemohon tidak boleh dikatakan keseluruhannya atau sebahagiannya daripada pembayaran oleh Najib kepada responden.

"Adalah jelas wang RM100,000 dan baki terkini dalam akaun bank responden mengandungi wang yang bercampur iaitu wang daripada pembayaran daripada Datuk Seri Najib dan wang daripada sumber-sumber yang lain," katanya.

Muhammad Jamil berkata, tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah pada 4 September 2019 untuk membuat apa-apa tuntutan ke atas wang RM100,000 yang disita dan pihak responden juga membangkitkan beberapa isu dalam membantah permohonan oleh pendakwa raya.

Hakim itu berkata, responden tidak pernah menafikan fakta bahawa mereka telah menerima wang RM100,000 daripada Najib dalam afidavit jawapan responden dan turut menafikan wang yang disita itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

"Dalam penyata akaun bank responden juga menunjukkan transaksi masuk dan keluar wang ke dalam akaun bank mereka. Najib mengeluarkan cek bertarikh 19 Oktober 2013 berjumlah RM100,000 kepada responden dan cek itu dimasukkan ke dalam akaun responden pada 22 Oktober tahun sama," katanya.

Hakim itu berkata, penyata akaun bank responden juga menunjukkan semenjak pembayaran cek daripada Najib terdapat banyak transaksi keluar masuk wang ke dalam akaun bank mereka dan baki terendah dalam akaun bank responden adalah RM1,512.46 pada tarikh 31 Mac 2016.

"Selepas itu, terdapat beberapa transaksi masuk dan keluar ke dalam akaun bank responden dan baki terkini setakat 13 Mei 2019 adalah RM805,751.13," katanya.

Selepas hakim memberi keputusan, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Haslinie Hashim berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan penangguhan pelepasan wang sitaan kepada pihak responden dan pihak mahkamah mengambil maklum perkara itu.

Dalam prosiding hari ini, PBAKM diwakili peguam Datuk Julita Ilhani Abdul Jabbar dan Mohamed Azahari Matiasin.

-- BERNAMA