Skip to main content

Malaysia

Mahkamah tolak rayuan ahli perniagaan dalam saman fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang

61770352737_TBISTANAKEHAKIMAN.jpg
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Alwi Abdul Wahab, Datuk Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Tan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Nov 2024. -Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah ahli perniagaan Tan Sri Tan Kok Ping terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Alwi Abdul Wahab, Datuk Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh, dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Tan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 26 Nov 2024.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Alwi berkata Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

“Kenyataan responden (Chow) boleh dianggap sebagai komen yang adil kerana ia merupakan pendapat jujur berdasarkan fakta yang dibuktikan berhubung perkara berkepentingan awam iaitu tadbir urus sebuah institusi kebajikan,” katanya.

Beliau berkata pembelaan justifikasi oleh Chow berjaya dibuktikan kerana inti pati kenyataan berkenaan secara umumnya adalah benar, manakala doktrin “separuh benar” tidak terpakai kerana tiada fakta material yang disembunyikan.

Hakim Alwi berkata Tan juga gagal membuktikan wujudnya niat jahat ketika kenyataan itu dibuat, selain pembelaan perlindungan bersyarat oleh Chow turut terpakai kerana beliau berhak memberikan respons secara terbuka terhadap surat peletakan jawatan Tan.

Mahkamah memerintahkan Tan membayar kos RM50,000.

Tan memfailkan saman terhadap Chow pada Januari 2024 berhubung kenyataan Chow dalam dua sidang media yang kemudiannya dilaporkan oleh media.

Kedua-dua sidang media itu masing-masing diadakan di pejabat Chow di Komtar, Pulau Pinang pada 1 Dis 2023 dan 6 Dis 2023.

Pada masa itu, Tan dan Chow merupakan pemegang amanah Penang and Province Wellesley Silver Jubilee Fund, sebuah perbadanan yang ditubuhkan bagi menguruskan Silver Jubilee Home.

Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang sebelum ini menolak saman Tan, menyebabkan beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam K. Kirubakaran, Kek Boon Wei dan Lee Wen Qian mewakili Tan manakala peguam Cheah Eng Soon mewakili Chow.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement