Mahkamah tolak rayuan warga British untuk pindah kes dadah ke Mahkamah Tinggi

Hakim berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Hall bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Majistret. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak permohonan seorang warga British untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang enggan memindahkan kes pengedaran dadahnya ke Mahkamah Tinggi dengan segera.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Wong Kian Kheong, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid semalam, membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan bahawa permohonan kebenaran merayu oleh Deishanei Ciara Hall adalah tidak kompeten.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Wong berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Hall bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Majistret.
Beliau berkata tiada keputusan daripada Mahkamah Tinggi ataupun Mahkamah Majistret menurut Seksyen 50 (1) dan (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Hakim Wong berkata Seksyen 41 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 ialah peruntukan mandatori dan Majistret tidak boleh memindahkan kes secara automatik ke Mahkamah Tinggi tanpa laporan kimia dan permintaan Pendakwa Raya.
Beliau bagaimanapun, menggesa pihak pendakwaan supaya mempercepat penyediaan laporan kimia agar kes Hall dapat diteruskan tanpa kelewatan.
Hall, 21, perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah kerana kesnya bermula di Mahkamah Majistret Sepang. Kes pengedaran dadah lazimnya difailkan di Mahkamah Majistret sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Wanita itu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada April lepas atas pertuduhan mengedar 19,076 gram kanabis di pejabat narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.15 tengah malam, 12 April.
Pada Ogos, Mahkamah Majistret menolak permohonan Hall supaya kes itu dipindahkan segera ke Mahkamah Tinggi walaupun laporan kimia belum dikeluarkan.
Kemudian, peguamnya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah, namun ditolak. Hal ini menyebabkan Hall memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Rayuan.
Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob membangkitkan bantahan awal, dengan mengatakan bahawa permohonan Hall untuk kebenaran merayu adalah tidak kompeten kerana keputusan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi bukanlah keputusan muktamad yang melupuskan haknya.
Peguam Hall, Michelle Tan Yung Yin berhujah bahawa kes anak guamnya perlu dipindahkan segera supaya tarikh perbicaraan awal dapat ditetapkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


