Mahkamah Utama Syariah Perak memulakan sidang pertamanya pada Khamis dengan mendengar permohonan membabitkan kes tuntutan harta sepencarian selepas ditubuhkan melalui warta bertarikh 26 Ogos 2019.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Asa'ari Mohd Yazid memulakan sesi pendengaran itu pada 3 petang.

Turut bersidang bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Pada prosiding semalam, mahkamah mendengar permohonan Esah Mohamad untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan Syariah pada 27 Feb lepas yang menolak bantahan awalnya bagi membatalkan notis rayuan Md Noor Lamin, yang juga bekas suami beliau dalam kes tuntutan harta sepencarian.

Esah, yang tidak hadir kerana masalah kesihatan dan diwakili peguam syarie Radin Katini Abdul Wahab, telah memohon untuk membatalkan notis rayuan itu atas alasan penyampaiannya tidak disempurnakan mengikut undang-undang.

Peguam syarie Mustafa Ghazali, yang mewakili Md Noor, pula berhujah bahawa Esah tidak mempunyai merit dari segi undang-undang untuk memohon agar notis rayuan itu dibatalkan di Mahkamah Rayuan Syariah.

Selepas lebih tiga jam bersidang, panel itu sebulat suara memberikan kebenaran untuk Esah merayu keputusan Mahkamah Rayuan Syariah.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak mematuhi proses pemfailan dan dokumentasi rayuan mengikut Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Perak tahun 2004 selain mengarahkan agar pendengaran kes itu di Mahkamah Syariah digantung sehingga rayuan di Mahkamah Utama Syariah diputuskan.

BACA: Sidang pertama pendengaran kes Mahkamah Utama Syariah Perak hari ini

Terdahulu, sebelum sesi pendengaran bermula, Asa'ari berkata kewujudan hierarki baharu mahkamah itu menyediakan platform untuk mengeluarkan prinsip berkaitan sesuatu ketetapan hukum dan perundangan syariat di Perak.

"Lapisan baharu ini juga akan memberikan keadilan dan keseimbangan kepada keseluruhan proses keadilan syariah," katanya.

Penubuhan Mahkamah Utama Syariah merupakan lapisan baharu proses rayuan di Mahkamah Syariah yang sebelum ini hanya mempunyai tiga lapisan iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Pada 5 Dis 2018, Dewan Undangan Negeri Perak telah meluluskan cadangan pindaan Seksyen 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 bagi membolehkan pewujudan sebuah mahkamah syariah tertinggi di negeri itu.

-- BERNAMA