Mahu kerjaya jurusolek diiktiraf, MUA harap pengajian seni solekan ditawar di IPT
Bernama
Disember 7, 2023 09:00 MYT
Disember 7, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Acap kali, kerjaya jurusolek atau lebih popular dipanggil MUA, singkatan daripada makeup artist dibina berdasarkan minat dan hobi individu itu sendiri yang kemudiannya beralih menjadi satu profesion yang menguntungkan.
Tidak hairanlah, wujudnya stigma masyarakat yang beranggapan jurusolek sebagai satu kerjaya bersifat low class sedangkan profesion itu berpotensi diangkat sebagai kerjaya profesional.
Jurusolek Yuslinaniza Mohd Hanafiah, 40, berpandangan institusi pendidikan seharusnya memainkan peranan penting dalam mengiktiraf kerjaya jurusolek agar karier itu boleh pergi lebih jauh.
"Bidang seni solekan ini luas, namun tiada lagi jurusan seni solekan yang ditawarkan dan diiktiraf di peringkat universiti di negara ini, sebagaimana kursus muzik, tarian, filem atau teater menerusi pengajian Seni Persembahan atau jurusan industri kreatif. Ia adalah penanda aras yang menunjukkan kerjaya jurusolek bukan lagi picisan.
"Biasanya, kursus solekan dibuat MUA sendiri, syarikat kosmestik, pusat kecantikan atau menerusi kursus pendek serta sijil kemahiran yang ditawarkan di Kolej Vokasional atau GiatMara," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia MADANI 2023 di Laman Beringin, Istana Budaya, di sini, baru-baru ini.
Bekerja sebagai jurusolek di Istana Budaya sejak 2017, Yuslinaniza berkata, secara tidak langsung, pengiktirafan itu boleh menaikkan karier jurusolek sebagai kerjaya profesional yang mempunyai prestij tersendiri berlandaskan kemahiran serta taraf pendidikan yang diperoleh.
"Jika di luar negara, kerjaya ini adalah satu bidang profesional, semakin lama dalam industri semakin dihargai, disegani dan disanjungi," katanya yang pernah menjadi artis budaya selama 11 tahun di Istana Budaya, sebelum ini.
Jurusolek bebas Dinie Awalluddin, 47, pula berharap pelbagai kursus dan latihan kemahiran dalam bidang seni solekan yang ditawarkan di Kolej Vokasional, Kolej Komuniti dan GiatMara dapat dipertingkatkan dan diperluaskan bagi memenuhi permintaan industri.
Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai jurusolek berkata, hal ini kerana kerjaya itu memerlukan individu berkemahiran tinggi terutamanya bagi generasi muda yang kurang berminat dalam bidang akademik.
"Jangan dilupa, kerjaya ini juga menjadi pilihan buat mereka yang obsesi pada kecantikan sehingga ada graduan dalam bidang lain turut menceburinya.
"Lagipun, kerjaya ini juga tidak kurang hebatnya kerana mampu membawa pulangan lumayan," katanya.
Menurutnya, untuk menjadi jurusolek yang mahir bukanlah mudah kerana seseorang perlu mempunyai asas dan ilmu mengenai solekan.
Turut senada, Zamzuri Ali, 52, yang berharap agar mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia solekan tidak jemu mencedok ilmu solekan bagi memantapkan lagi kemahiran dan kreativiti mereka dalam ilmu menatarias wajah.
"Jurusolek tidak boleh cepat berpuas hati dengan kemahiran dimiliki, tetapi perlu sentiasa mencuba pelbagai teknik baharu supaya mereka tidak ketinggalan," katanya yang sudah setahun berkhidmat di Istana Budaya.
Beliau yang berpengalaman hampir 25 tahun dalam bidang solekan mengakui tidak mempunyai kelulusan formal dalam bidang itu, sebaliknya bermula dengan belajar bersolek melalui individu berpengalaman kemudian mengembangkan minat berkenaan sehingga mahir.
"Manfaatkan peluang yang ada dan jangan sia-siakan bakat yang dikurniakan Allah SWT...kita bukan sahaja jadi MUA yang berbakat tetapi berilmu serta berkelayakan," katanya. - BERNAMA