'Mahu lebih peruntukan? MCA, sila lepaskan UTAR, TAR UC' - Guan Eng

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 12, 2019 10:02 MYT
Gesaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu dibuat sehari selepas membentangkan Belanjawan 2020 yang menyaksikan UTAR yang dimiliki MCA itu hanya menerima RM1 juta. - Foto BERNAMA
Lembaga pemegang amanah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) digesa untuk melepaskan jawatan jika mahu peruntukan kerajaan yang lebih tinggi.
Gesaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu dibuat sehari selepas membentangkan Belanjawan 2020 yang menyaksikan UTAR yang dimiliki oleh MCA itu hanya menerima RM1 juta.
Ujarnya, institusi pendidikan sepatutnya bebas daripada sebarang kawalan parti politik.
"Hanya 10 pemegang amanah (MCA). Adakah mereka lebih penting daripada ribuan pelajar?
"Waktu anda (pemegang amanah) telah berakhir. Tiba masa untuk golongan profesional, bekas pelajar untuk mentadbir UTAR," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Malah, tegasnya UMNO dan MIC juga tidak menerima sebarang peruntukan.
Jelasnya, tindakan itu seiring hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya peruntukan awam perlu diasingkan daripada politik.
Pada masa sama, Guan Eng turut menegaskan bahawa selain institusi pendidikan, media juga tidak harus dipegang oleh parti politik.
#Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman #lembaga pemegang amanah #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #MCA #MIC #pendidikan #UMNO #Universiti Tunku Abdul Rahman