MALAYSIA

Mahu pinda ASPK perlu kajian menyeluruh termasuk pindaan Perlembagaan - Azalina

Bernama 22/05/2025 | 15:30 MYT
Azalina pada Sesi Town Hall dan Majlis Peluncuran AI Legal Justice Roadmap 2025-2026 dan PetaRI di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kajian menyeluruh termasuk pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan sekiranya ingin meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (ASPK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata akta itu telah dibentang dan diluluskan di Parlimen tanpa pindaan pada Perlembagaan Persekutuan.

"... kalau kita puas hati atau tidak puas hati terhadap struktur akta yang ada, kita kena buat kajian menyeluruh termasuk pindaan Perlembagaan... jika ingin pinda ASPK, perlu buat pindaan Perlembagaan sekali atau wujudkan satu akta baharu dengan pindaan Perkembagaan," katanya semasa dialog awam bersama penuntut undang-undang di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas cadangan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai pindaan ASPK untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim.

Azalina berkata meskipun terdapat pelbagai pandangan berhubung perkara itu, hakikatnya Perlembagaan adalah lebih tinggi daripada sebarang akta.

"Namun jika kita nak tengok ke arah mana ASPK ini hendak bergerak, kena ada kajian menyeluruh. Sekiranya diarah oleh kerajaan, bahagian dasar Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang boleh melakukan kajian semula," katanya.

Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa pelantikan hakim hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

-- BERNAMA



#Ketua Hakim Negara #Perlembagaan Persekutuan #ASPK #Dialog awam