MALAYSIA

Maimunah sandang jawatan Penasihat Hartanah di PETRONAS

Asyraf Malik 13/11/2025 | 13:45 MYT
Maimunah akan membimbing hala tuju fasa pertumbuhan seterusnya bagi portfolio hartanah syarikat petroleum negara, khususnya berkaitan dengan tanah Sungai Besi dan Kota Madani - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: PETRONAS pada Khamis mengumumkan pelantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah yang berkuat kuasa mulai 17 November 2025.

Dalam kenyataan, PETRONAS berkata, Maimunah akan membimbing hala tuju fasa pertumbuhan seterusnya bagi portfolio hartanah syarikat petroleum negara, khususnya berkaitan dengan tanah Sungai Besi, Kota Madani serta pembangunan hartanah lain.

Jelas kenyataan itu, pengurusan PETRONAS mengalu-alukan kehadiran Maimunah dan yakin pengetahuan serta pengalamannya akan menjadi aset amat berharga kepada syarikat.

Maimunah merupakan seorang pemimpin bertaraf global dan teknokrat yang diiktiraf dengan lebih 40 tahun pengalaman dalam pembangunan bandar lestari.

Beliau merupakan graduan University of Wales Institute of Science and Technology dalam bidang Sarjana Muda Sains (Kepujian) Perancangan Bandar serta Ijazah Sarjana dalam Perancangan Bandar dari Universiti Sains Malaysia.

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Pernah memegang pelbagai jawatan penting di Malaysia termasuk menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Seberang Perai dan pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang.

Dalam kerjayanya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan peranan kepimpinan global, beliau merupakan wanita Asia pertama yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat).

Malah, Beliau juga pernah bertugas sebagai Pemangku Ketua Pengarah Pejabat PBB di Nairobi.






#Petronas #Datuk Bandar Kuala Lumpur #Datuk Seri Dr Maimunah Sharif #DBKL #Ketua Setiausa Negara #tempoh perkhidmatan