MALAYSIA
MAIPk rekod kutipan zakat RM253 juta tahun 2024

Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada Majlis Pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) anjuran MAIPk di ZAPAR, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) merekodkan kutipan zakat lebih RM253 juta tahun lalu, meningkat 858 peratus dalam tempoh 20 tahun terakhir.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pada tahun 2004, MAIPk merekodkan kutipan zakat bagi semua kategori, merangkumi harta dan fitrah, berjumlah RM26.3 juta.
Baginda merumuskan peningkatan itu dipengaruhi oleh empat faktor.
Pertama, kesedaran, fahaman dan penghayatan umat Islam terhadap perintah dan hukum yang mewajibkan zakat.Kedua, pendapatan umat Islam secara perseorangan begitu juga secara perniagaan dan tanaman yang meningkat.
Ketiga, insentif kerajaan memberi rebat cukai pendapatan dan potongan cukai keuntungan perniagaan kepada individu dan institusi yang membayar zakat.
Keempat pengenalan wakalah, seterusnya kelima penambahbaikan pengurusan zakat dan keenam keyakinan umat Islam untuk menunaikan zakat melalui MAIPk.
“Keyakinan umat Islam terhadap MAIPk hendaklah terus ditingkatkan melalui tadbir urus yang cekap, amanah, telus dan berintegriti.
“Islam menegah keras perlakuan pecah amanah dan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diberikan amanah, jawatan dan kuasa,” titah baginda pada majlis pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan di Pusat Zakat Al Ridzuan, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Sultan Nazrin bertitah, pelbagai pihak, baik secara perseorangan mahupun melalui organisasi, turut berperanan penting memungkinkan kutipan zakat semakin meningkat.
Baginda menghargai sokongan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri yang bersetuju memperkenalkan dan melaksanakan skim bayaran zakat melalui potongan gaji bulanan kakitangan.
Baginda turut berbesar hati apabila disembah maklum bahawa MAIPk merupakan satu-satunya institusi di Perak yang 100 peratus warganya bersetuju menunaikan bayaran zakat melalui skim potongan gaji dan elaun, bermula daripada Yang Dipertua dan ahli-ahli Majlis sehingga kepada kakitangan yang paling rendah pendapatannya.
“Semoga pencapaian MAIPk ini menjadi sumber inspirasi dan contoh teladan kepada semua jabatan negeri dan persekutuan begitu juga pelbagai industri, syarikat dan badan swasta di negeri Perak,” titah baginda.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami