Skip to main content

Malaysia

MAIPk salur RM421,000 bantu pelajar asnaf cemerlang tahun ini

Biasiswa Pelajaran Baitulmal -- FB Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak
Syamsul Hazeman berkata peruntukan itu melibatkan 183 pelajar tingkatan lima dan 31 pelajar tingkatan empat yang cemerlang dalam pelajaran. - Gambar Facebook Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak
Advertisement

IPOH: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan RM421,000 tahun ini bagi membantu 214 pelajar daripada keluarga miskin menerusi Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh berkata peruntukan itu melibatkan 183 pelajar tingkatan lima dan 31 pelajar tingkatan empat yang cemerlang dalam pelajaran.

Beliau berkata selain bantuan kewangan RM1,500 setahun, penerima SBBP turut menerima sokongan akademik termasuk tuisyen secara dalam talian, program motivasi, seminar kecemerlangan SPM serta insentif kecemerlangan peperiksaan.

“Usaha ini bukan sekadar memberikan bantuan kewangan tetapi turut memastikan anak-anak asnaf mendapat sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan pencapaian akademik dan membina keyakinan diri,” katanya dalam kenyataan bersempena Program Seminar Kecemerlangan SPM 2026 di Manjung di sini hari ini.

Syamsul Hazeman berkata program yang dilaksanakan di lima zon di seluruh Perak itu melibatkan 183 pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

Beliau berkata seminar itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kaedah menjawab peperiksaan, selain membantu membentuk sikap positif, meningkatkan keyakinan diri serta mengurus tekanan dalam menghadapi SPM. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata 30 pelajar SBBP turut menerima komputer riba bernilai RM60,000 hasil sumbangan Pintas Utama Sdn Bhd menerusi Program Kerjasama Wakalah MAIPk.

“Sumbangan komputer riba ini dapat membantu menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan meningkatkan akses pelajar kepada teknologi digital.

“Kerjasama seperti ini juga penting dalam memperluaskan penyampaian manfaat zakat secara bersasar, khususnya bagi menyokong keperluan pendidikan dan pembangunan masa depan anak-anak asnaf,” katanya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement