Skip to main content

Malaysia

MAIPk taja 40 belia asnaf ikuti latihan kemahiran di Akademi Binaan Malaysia

MAIPk memaklumkan, kesemua mereka sebelum ini mengikuti Program Latihan Kemahiran Asnaf di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MAIPk dalam bidang pembinaan. - Gambar Facebook Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak
MAIPk memaklumkan, kesemua mereka sebelum ini mengikuti Program Latihan Kemahiran Asnaf di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MAIPk dalam bidang pembinaan. - Gambar Facebook Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

Advertisement

IPOH: Sebanyak 40 belia asnaf mengikuti program latihan kemahiran di Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara dalam bidang pembinaan melibatkan peruntukan sebanyak RM380,000.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam hantaran Facebook memaklumkan, latihan kemahiran itu melibatkan tiga bidang khusus, iaitu prime mover, tower crane dan scaffolding.

“Bidang ini membuka ruang kepada peserta untuk melengkapkan diri dengan kemahiran teknikal diperlukan industri pembinaan, sekali gus meningkatkan peluang mereka memasuki alam pekerjaan.

“Bagi sebahagian belia asnaf, kekangan kewangan dan peluang terhad menjadi penghalang untuk mendapatkan latihan kemahiran serta pekerjaan yang lebih baik,” menurut hantaran itu. 

MAIPk memaklumkan, kesemua mereka sebelum ini mengikuti Program Latihan Kemahiran Asnaf di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MAIPk dalam bidang pembinaan.

MAIPk memaklumkan telah berjaya melengkapkan 170 peserta asnaf dalam bidang pembinaan bagi tahun ini daripada keseluruhan 1,200 peserta yang disasarkan menerusi program TVET MAIPk.

MAIPk memaklumkan, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah bantuan disalurkan tetapi juga melalui perubahan kehidupan peserta. 

“Apabila seorang belia asnaf memperoleh kemahiran, mendapat pekerjaan dan mampu menyara keluarganya, di situlah terserlah nilai zakat sebagai pemangkin perubahan sosial dan ekonomi.

“Semoga 40 belia ini memanfaatkan peluang diberikan dengan bersungguh-sungguh dan seterusnya melangkah ke alam pekerjaan dengan kemahiran, disiplin serta keyakinan,” menurut hantaran itu.

Majlis pelepasan peserta di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini dirasmikan oleh Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk, Amirudin Osman.

Majlis juga menyaksikan penyerahan zakat perniagaan oleh ABM kepada Zakat Perak Al Ridzuan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement