KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) untuk menjadi pencelah dalam saman pemula guru tadika M. Indira Gandhi bagi mencabar enakmen negeri yang membenarkan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara unilateral (sebelah pihak).

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas mendapati permohonan MAIWP dan MAIJ mempunyai merit.

Bagaimanapun, hakim itu menolak permohonan Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (BPSWP) sebagai pencelah dalam kes saman itu.

"Selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat dan meneliti kertas-kertas kausa yang difailkan dalam kes ini, mahkamah mendapati permohonan pencelah oleh BPSWP adalah tidak bermerit. Namun, permohonan MAIWP dan MAIJ mempunyai merit dan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan tanpa perintah terhadap kos," katanya dalam prosiding secara dalam talian hari ini.

Mahkamah turut menetapkan 20 Nov ini untuk pengurusan kes.

Pada prosiding hari ini, MAIWP diwakili peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Danial Farhan Zainul Rijal manakala Datuk Mohd Ikbal Salam dan Mohamed Yasser Mohd Yasin bagi MAIJ. Peguam Abdul Razak Muhidin dan Nini Shirma Rahmat mewakili BPSWP manakala Amanda Sonia Mathew, mewakili plaintif.

Indira dan 13 lain selaku plaintif memfailkan saman pemula itu pada 3 Mac lepas dengan menamakan kerajaan Negeri Perlis, Kedah, Melaka, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Selain Indira, plaintif yang lain ialah Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia, bekas pengerusi Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) S. Mohan dan Pengerusi Indira Gandhi Action Team D. Arumugam serta beberapa penduduk di negeri berkenaan dan mangsa kepada kepada penukaran agama secara unilateral.

Mereka antara lain memohon perisytiharan bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kesemua plaintif mendakwa penukaran unilateral yang berlaku di negara ini dari tarikh keputusan kes Indira adalah terbatal kerana melanggar peruntukan berkenaan selain menyatakan dengan keputusan Indira, sebarang penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara unilateral tanpa kebenaran kedua-dua ibu bapanya adalah tidak berperlembagaan.

Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira kepada Islam oleh bekas suami mualafnya, adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

-- BERNAMA