Majikan mahu lebih sokongan terhadap kerja jarak jauh - Kajian

Bernama
Februari 2, 2021 11:01 MYT
Jaminan pekerjaan daripada tahap interaksi yang rendah dengan majikan dan kestabilan hubungan jaringan komunikasi secara jarak jauh yang merangkumi jalur lebar internet, adalah kebimbangan yang paling ketara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pekerja di Malaysia sudah dapat menyesuaikan diri dengan bekerja secara jarak jauh walaupun menghadapi cabaran teknologi dan produktiviti, menurut kajian oleh Dell Technologies, sebuah syarikat transformasi digital.
Berdasarkan Indeks Ketersediaan Kerja Jauh oleh Dell Technologies yang pertama kali dilakukan, 84 peratus pekerja di negara ini berkata mereka bersedia untuk bekerja jarak jauh dalam tempoh jangka panjang, walaupun wujud kebimbangan mengenai keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan daripada 31 peratus responden.
Pengurus Negara, Dell Technologies di Malaysia, KT Ong berkata, kejadian luar biasa yang berlaku di seluruh dunia disebabkan pandemik COVID-19 bermaksud bahawa semua organisasi terpaksa beralih kepada pengaturan kerja jarak jauh secara serta-merta, justeru tidak menghairankan timbul kebimbangan mengenai kerja jarak jauh tersebut.
"Jaminan pekerjaan daripada tahap interaksi yang rendah dengan majikan (33 peratus) dan kestabilan hubungan jaringan komunikasi secara jarak jauh (33 peratus) yang merangkumi jalur lebar internet, adalah kebimbangan yang paling ketara dikemukakan sekiranya pengaturan kerja jarak jauh diteruskan untuk jangka panjang," katanya semasa pembentangan kajian tersebut, di sini, hari ini.
Kajian yang dijalankan oleh Kanter, sebuah firma penyelidikan pasaran, dianggotai sebanyak 7,000 golongan profesional yang bekerja (1,030 rakyat Malaysia) daripada tujuh pasaran rantau Asia Pasifik dan Jepun, indeks tersebut memperoleh data mengenai ketersediaan pekerja untuk bekerja secara jarak jauh dan pendapat mereka mengenai apakah faktor penting bagi kejayaan bekerja jarak jauh tersebut.
Daripada segi sumber teknologi, 50 peratus responden merasakan bahawa majikan mereka tidak melakukan semua yang mereka mampu untuk memberi sokongan dalam kerja jarak jauh dengan berkesan.
Ong berkata pekerja yang ditemubual berkata mereka menghadapi cabaran besar dengan rangkaian hubungan jarak jauh yang tidak stabil, ia merangkumi kekangan jalur lebar internet ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun lepas.
"Mereka juga menghadapi rintangan bagi mengakses sumber dalaman syarikat seperti intranet, portal syarikat, alat pengurusan hubungan pelanggan, peralatan kewangan atau perakaunan," katanya.
Menurut kajian itu, kerja jarak jauh bukanlah sesuatu yang baharu bagi pekerja di Malaysia kerana 70 peratus daripada mereka telah bekerja secara jarak jauh sebelum PKP dilaksanakan.
"Bagaimanapun, 48 peratus responden memberitahu faktor penting untuk bekerja jarak jauh adalah memiliki jaringan hubungan komunikasi jarak jauh yang stabil, ia sangat penting bagi mereka dalam organisasi besar dengan lebih daripada 1,000 pekerja, sebanyak 54 peratus melihat ini sebagai faktor utama, "katanya.
Oleh itu, pekerja berpendapat bahawa majikan mereka harus memberikan sokongan yang lebih besar untuk realiti baharu itu, iaitu amalan kerja jarak jauh akan menjadi perkara biasa, katanya.
Berdasarkan kajian tersebut, 42 peratus responden di Malaysia mahu majikan mereka menyediakan peralatan atau alat produktiviti, dan 36 peratus responden meminta majikan memastikan mereka mendapat akses ke sumber dalaman syarikat untuk mengatasi masalah dalam kerja jarak jauh tersebut.
Sementara itu, bagi sokongan sumber manusia, para pekerja berkata komunikasi melibatkan individu merupakan cabaran utama di Malaysia dan Jepun, selain daripada komunikasi dalam pasukan, pembelajaran dan pembangunan, serta dasar dan garis panduan yang ketinggalan zaman ketika ini untuk bekerja jarak jauh.
Untuk menguruskan kerja jarak jauh dengan berkesan, 51 peratus pekerja di Malaysia yang menyatakan bahawa mereka mahukan latihan untuk kerja jarak jauh, pembelajaran dan sesi pembangunan, sementara 42 peratus mahu lebih banyak inisiatif bagi kerterlibatan pasukan.
Ong berkata definisi kerja hari ini telah berkembang maju kerana ia tidak lagi tertumpu kepada tempat bekerja tetapi lebih kepada hasil kerja.
"Majikan yang mementingkan kestabilan perniagaan jangka panjang mesti bersedia membantu pekerja mereka merealisasikan peranan profesional dan peribadi mereka dengan berkesan tanpa mengira di mana mereka akan bekerja," katanya.
-- BERNAMA
#Pekerja #rakyat Malaysia #WFH #kerja dari rumah #kerja jarak jauh #pandemik #COVID-19 #teknologi #produktiviti