Majikan wajar bertanggungjawab bayar levi pekerja asing - Cuepacs

Bernama
Januari 5, 2017 13:32 MYT
AZIH: Cuepacs sambut baik keputusan kerajaan yang mensyaratkan majikan membayar levi pekerja asing berkuat kuasa 1 Jan lepas. - Gambar fail
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik keputusan kerajaan yang mensyaratkan majikan membayar levi pekerja asing berkuat kuasa 1 Jan lepas, kerana majikan wajar bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka.
Presidennya Datuk Azih Muda berpendapat levi yang perlu dibayar oleh majikan adalah bertujuan untuk merekod setiap transaksi kemasukan pekerja asing ke negara ini dan bukan untuk membebankan majikan.
"Kita tidak mahu kerajaan menanggung beban tambahan di mana sakit demam pekerja asing ini dibayar oleh kerajaan, malah ada rekod rawatan di hospital kerajaan yang tidak dibayar oleh mereka (pekerja)," kata Azih kepada Bernama.
Katanya, majikan sepatutnya memikirkan langkah yang lebih kreatif untuk menarik pekerja tempatan bekerja di sektor-sektor yang kotor, bahaya dan sukar dikenali sebagai 3D (dirty, dangerous & difficult) kerana beliau yakin ada rakyat tempatan yang mahu bekerja.
"Saya rasa mereka (majikan) tidak iklankan kekosongan jawatan yang mereka ada. Apa salahnya jika iklankan, tawar gaji yang berpatutan, saya pasti ramai yang mahukan pekerjaan tersebut," katanya.
Tambahnya, jumlah kemasukan pekerja asing di negara ini meningkat semenjak banyak sektor awam yang diswastakan sehingga menjejaskan peluang kepada rakyat tempatan untuk mendapatkan pekerjaan.
"Kita nampak sejak penswastaan berlaku, kos menggaji pekerja asing telah meningkat, sedangkan sebelum ini, kerja-kerja tersebut boleh dilakukan oleh warga tempatan.
"Sehubungan itu, saya berpandangan levi ini adalah berpatutan dan baik untuk dilaksanakan, dan pekerja asing tidak lagi menjadi liabiliti kepada kerajaan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low Jau Foo menganggarkan industri sarung tangan getah perlu membayar sehingga RM90 juta setahun bagi levi sahaja.
Anggaran berkenaan, tidak mengambil kira kos tambahan terhadap perumahan dan pengangkutan di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC).
Beliau berkata daripada RM90 juta dihantar keluar, wang berkenaan boleh digunakan dengan lebih baik dalam usaha mencapai pemodenan dan automasi kilang untuk kurang bergantung kepada pekerja asing.
Dasar baru itu, katanya, juga bermakna sejumlah besar wang sehingga RM5 bilion setahun akan dihantar keluar Malaysia, menyebabkan satu lagi aliran tunai bagi negara.
Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia (PIKAP) pula memohon agar kerajaan menangguhkan dahulu pelaksanaan pembayaran levi pekerja asing oleh majikan, bagi mencari pendekatan yang lebih holistik dalam ketidakketentuan ekonomi kini.
Presidennya Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata keputusan mendadak itu kini meresahkan para majikan dalam pelbagai industri kerana ia bukan sahaja membebankan kos operasi, tetapi juga berisiko ditutup ekoran kesukaran mendapatkan pekerja asing yang sah.
"Jika dasar baharu ini berterusan, saya khuatir bukan sahaja pekerja asing akan 'lari' dari sini, malah operasi syarikat-syarikat besar juga mungkin akan beralih ke negara yang lebih murah urusan pengambilan pekerja asingnya seperti di Kemboja dan Vietnam," jelasnya.
Katanya, kerajaan seharusnya tegas dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan menangkap dan mendakwa pekerja serta majikan ataupun menyita aset syarikat yang ingkar, bukan melalui penyelesaian pembayaran levi di bawah EMC.
-- BERNAMA
#cuepacs #dangerous & difficult #dirty #EMC #MARGMA #sektor awam