MALAYSIA
Majlis Belia Tampin bersedia, sambut baik had umur 30 tahun

Amir Hidayat memberi hujah tentang langkah tepat had umur 30 tahun yang bakal dikuatkuasakan di bawah Akta A1602.
TAMPIN: Majlis Belia Daerah (MBD) Tampin menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan had umur belia 30 tahun, seiring dengan pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan) 2019 [Akta A1602] yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2026.
Ketua Penerangannya, Amir Hidayat Nazry Muhammad berkata penurunan had umur ini merupakan langkah tepat ke arah memperkasa kepimpinan belia yang lebih segar serta progresif.
“Inisiatif ini membuka ruang kepada lebih ramai golongan muda bawah 30 tahun untuk tampil ke hadapan, membina keyakinan, dan memimpin perubahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menegaskan pindaan ini bukan perkara baharu kerana telah diluluskan sejak tahun 2019.Justeru, proses penstrukturan semula sepatutnya bermula lebih awal di peringkat daerah, bukannya menunggu saat akhir untuk menyuarakan bantahan.
“Suara sinis dan gesaan untuk menangguhkan pelaksanaan hanya menunjukkan ketidakpercayaan terhadap kemampuan generasi muda. Ia juga merugikan gerakan belia itu sendiri,” ujarnya.
Antara pindaan utama Akta 668 ialah penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, had umur pemegang jawatan antara 18 hingga sebelum 30 tahun, serta had tempoh jawatan ketua pertubuhan belia selama empat tahun.
Kesemua langkah ini bertujuan memperkukuh penglibatan belia dalam pembangunan negara.
Tambahnya, MBD Tampin sendiri mula memberi kepercayaan kepada generasi muda sejak tahun 2021 apabila kepimpinan daerah mula diambil alih oleh mereka yang berusia sekitar pertengahan 20-an.
“Kami telah mempersiapkan barisan kepimpinan baharu di bawah umur 30 tahun, dan yakin mereka mampu meneruskan legasi dengan baik,” jelas beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami