Majlis Daerah Jempol (MDJL) malam ini (Selasa) diisytihar sebagai Majlis Perbandaran Jempol (MPJL).

Pengisytiharan itu disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di sini, di hadapan kira-kira 3,000 warga Jempol.

Dengan pengisytiharan itu, MPJL kini menjadi majlis perbandaran keempat di negeri ini selepas Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Turut berkenan berangkat ke majlis pengisytiharan itu ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta anakanda baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta barisan Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata MDJL telah memenuhi kriteria yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dinaik taraf sebagai sebuah majlis perbandaran.

"Pengisytiharan ini terhasil daripada komitmen kerajaan negeri dan juga warga MDJL bagi memastikan daerah Jempol dirancang pembangunannya secara holistik.

"Besarlah harapan saya supaya MDJL yang dinaik taraf kepada perbandaran akan memberi impak positif kepada penduduk setempat serta penduduk yang bersempadan," katanya.

Menteri Besar dalam sidang media kemudian berkata dengan pengisytiharan itu ia akan membolehkan Jempol menerima pelaburan yang lebih banyak selain melonjakkan sektor pelancongan dan perkilangan setempat.

"Dengan kemudahan perbandaran yang baik, kami mengharapkan taraf hidup rakyat akan lebih baik," katanya.

Aminuddin berkata selari dengan pengisytiharan itu, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara juga akan membuka cawangan di sini demi kemudahan masyarakat setempat.

"Kami minta mereka ini beroperasi dalam tahun ini juga. Sekarang ini mereka dalam proses ubah suai bangunan untuk dijadikan pejabat," katanya.

MDJL ditubuhkan pada 1 Ogos 1980.

Pada 3 Jan tahun lepas, kerajaan pusat telah meluluskan cadangan kerajaan Negeri Sembilan untuk menaik taraf MDJL kepada MPJL.

-- BERNAMA