KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dikesan di Sabah hari ini melibatkan penularan di tempat kerja dan juga komuniti, menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Jelas beliau, salah satu daripada kluster yang dikesan iaitu Kluster Samedra, Kota Kinabalu melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan kakitangan di sebuah pelantar minyak.

"Kes indeks merupakan penyelia lelaki berusia 35 yang mula bergejala sejak 12 Jun, sebelum disahkan positif COVID-19 hasil saringan pekerjaan pada tarikh sama di klinik swasta.

"Turut dikesan positif ialah 24 kontak dalam kalangan rakan sekerja kes indeks, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 25 kes," katanya.

Manakala, bagi Kluster Serudung Baru yang turut dikesan hari ini, melibatkan Mukim Balung, di Tawau.

Kluster ini berkait rapat dengan majlis hari jadi yang diadakan di rumah kes indeks pada 12 Jun lalu, serta dihadiri ahli keluarga.

"Kes indeks merupakan warga emas lelaki berumur 60 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 16 Jun di Klinik Kesihatan Apas Balung, setelah bergejala sejak 13 Jun.

"Susulan kes itu, saringan kontak pada 20 Jun  mendapati sembilan individu dalam kalangan jemputan majlis terbabit dikesan positif.

"Setakat hari ini, sembilan lagi kes positif direkodkan menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 19 kes," katanya dalam kenyataan media laporan harian kes COVID-19 di negeri Sabah, pada Isnin.

Sabah hari ini melaporkan 166 kes positif COVID-19 yang baharu, dengan dua kes kematian direkodkan dari daerah Tawau.

Kota Kinabalu kembali mencatatkan peningkatan tertinggi dengan 44 kes, diikuti Tawau (32 kes) dan Sandakan (16 kes).