Skip to main content

Malaysia

Majlis Media Malaysia perlu diperkukuh, galak penyertaan platform media sosial - Fahmi

JOHOR BAHRU, 7 Julai -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meninjau kemudahan di Pusat Media Pilihan Raya dan Pusat Operasi Bernama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi memastikan operasi liputan berita berjalan lancar serta capaian Internet berkelajuan tinggi berfungsi dengan baik untuk para pengamal media  —fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  JOHOR BAHRU, July 7—Communications Minister Datuk Fahmi Fadzil inspects the facilities during a working visit to the Election Media Centre and
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan memberikan sokongan sewajarnya pada peringkat awal penubuhan MMM, selain menggalakkan lebih banyak organisasi media dan platform media sosial menyertai majlis berkenaan. - Foto BERNAMA
Advertisement

JOHOR BAHRU: Majlis Media Malaysia (MMM) perlu diperkukuh sebagai platform kawal selia kendiri bagi memastikan ekosistem media negara terus berkembang secara beretika dan bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan memberikan sokongan sewajarnya pada peringkat awal penubuhan MMM, selain menggalakkan lebih banyak organisasi media dan platform media sosial menyertai majlis berkenaan.

Beliau berkata penyertaan lebih ramai anggota akan membolehkan isu berkaitan media ditangani secara lebih berkesan menerusi mekanisme kawal selia kendiri oleh industri itu sendiri.

"Kita akan membantu Majlis Media Malaysia bergerak dengan lebih pantas dan cergas. Kita lihat sokongan wajar diberikan pada tahun-tahun awal memandangkan ia baru ditubuhkan. 

“Kita juga akan membantu supaya lebih banyak organisasi media menjadi anggota Majlis Media Malaysia agar isu-isu berkaitan media dapat diuruskan secara kendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, serta Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Erwin Khairul Ahmad dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Bukhari Yahya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang aduan terhadap wartawan daripada organisasi media yang diiktiraf tidak lagi membawa kepada tindakan automatik, sebaliknya perlu dirujuk terlebih dahulu kepada MMM.

Anwar berkata mekanisme itu diwujudkan bagi memastikan sebarang tindakan terhadap pengamal media dibuat secara lebih adil, telus dan bebas, sekali gus mengelakkan wartawan diheret ke dalam siasatan atau pendakwaan tanpa penelitian sewajarnya.

Fahmi berkata penyertaan platform media sosial dalam MMM juga penting memandangkan cabaran berkaitan kandungan media kini bukan sahaja melibatkan organisasi media, malah turut merangkumi penyebaran maklumat menerusi platform digital.

Kebanyakan organisasi media mengamalkan prinsip kewartawanan beretika, namun masih terdapat kandungan dalam platform media sosial yang disebarkan tanpa mengambil kira konteks tempatan atau sensitiviti tertentu.

Beliau turut memberikan contoh insiden seorang remaja menikam seorang pelajar di Banting baru-baru ini, yang menyaksikan wajah serta kandungan berkaitan siasatan polis terus tersebar luas dalam media sosial.

“Platform-platform ini mempunyai garis panduan, tetapi kebanyakannya tidak mengambil kira konteks Malaysia. Jika mereka menyertai Majlis Media Malaysia, isu-isu seperti ini boleh diuruskan dengan lebih baik melalui mekanisme kawal selia kendiri.

“Kita percaya langkah ini dapat membantu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement