Majlis Peguam mempersoalkan pengesahan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyatakan bahawa Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) sebagai pertubuhan haram.

Presidennya, Christopher Leong dalam satu kenyataan medianya berkata deklarasi yang menyatakan bahawa COMANGO adalah satu pertubuhan haram adalah sangat tidak tepat dan tiada asasnya dan pengharamannya itu perlu ditarik semula.

"Ketua Setiausaha KDN hanya merujuk kepada kegagalan COMANGO untuk berdaftar dengan ROS di bawah Akta Pertubuhan 1966 namun tiada pula disebutkan apa-apa jua arahan dari Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 5 akta tersebut yang menyebutkan bahawa COMANGO adalah pertubuhan haram," katanya.

Tambahnya lagi, disebabkan COMANGO tidak berdaftar dengan ROS maka terus dibuat kesimpulan bahawa pertubuhan tersebut adalah pertubuhan haram.

"Kuasa untuk mengumumkan bahawa sesebuah pertubuhan itu haram adalah terletak dibawah kuasa Pendaftar Pertubuhan dan tiada sebarang terma pun yang menyatakan seseorang Ketua Setiausaha KDN boleh mengeluarkan atau membuat sebarang pengumuman atau deklarasi seperti yang tertakluk di bawak Akta itu dan juga tiada terma yang menyatakan bahawa terdapat pembahagian kuasa antara Menteri dan Ketua Setiausaha dalam tugasan ini," .

Keduanya, COMANGO dianggap sebagai "pertubuhan" merujuk kepada terma dalam akta tersebut walhal COMANGO adalah satu gabungan-gabungan organisasi bukan kerajaan dan tiada tertakluk dalam undang-undang untuk setiap gabungan ini untuk berdaftar dibawah akta tersebut.

Ketiga pula, kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian itu mendakwa bahawa COMANGO adalah memperjuangkan hak-hak asasi yang menyimpang dari agama Islam.

"Melalui petisyen yang dihantar oleh COMANGO kepada Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) pada March 2013, hanya empat dari 63 cadangan yang berkaitan isu seperti lesbian, gay, biseksual, transgender, orientasi seks dan identiti jantina (LGBTIQ). Malah, cadangan yang dikemukakan adalah dalam konteks untuk menghentikan diskriminasi melalui undang-undang," .

Menurutnya lagi, adalah sukar untuk mempercayai apabila empat cadangan yang dikemukakan itu menjadi ancaman kepada kepercayaan dan pegangan agama Islam di Malaysia.

Ia sebaliknya demi untuk menghentikan diskriminasi hak asasi manusia semata-mata.

Keempat pula, kenyataan yang dikeluarkan itu sangatlah tidak benar apabila dikatakan bahawa kebanyakkan anggota organisasi bukan kerajaan yang menyertai COMANGO itu merupakan organisasi bukan Islam.

Ianya bagaikan mewujudkan satu penyataan yang salah dan tidak benar mengenai perkara itu dan ini merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Yang kelima pula, kenyataan yang dikeluarkan itu dikesan mempunyai kesilapan dimana dikatakan hanya 15 dari 54 anggota organisasi COMANGO yang berdaftar dengan Akta Pertubuhan 1966 dan di sini Kementerian Dalam Negeri tidak ada akses yang tepat atau terkini mengenai organisasi-organisasi yang berdaftar.

"Organisasi-organisasi yang dikatakan tidak berdaftar itu sebenarnya telah pun berdaftar d ibawah akta tersebut yang turut merangkumi Persatuan Peguam Wanita, Pertubuhan Kristian Malaysia, PS The Children dan Women's Centre for Change, Penang,".

Keenam pula, kenyataan yang dikeluarkan juga turut menyatakan bahawa setiap persatuan yang mahu menjalankan sebarang aktiviti sah di sisi undang-undang negara mesti berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

"Kebanyakkan anggota organisasi COMANGO bukanlah sebuah persatuan mahupun pertubuhan tetapi sebaliknya merupakan syarikat yang berdaftar dengan Pertubuhan Syarikat 1965 dan juga badan yang berdaftar dengan undang-undang pendaftaran organisasi yang tidak memerlukan ianya berdaftar dengan undang-undang di bawah akta tersebut,".

Ketujuh pula, kenyataan tersebut ternyata mengelak dalam menerangkan bahawa kerajaan Malaysia telah sekian lama berhubungan dengan COMANGO semenjak September 2008 ketika persediaan untuk Majlis Hak Asasi Manusia, PBB dan tiada sebarang masalah yang berlaku sehinggalah sekarang.

Yang terakhir pula, dengan meneruskan usaha-usaha seperti ini, kerajaan Malaysia seperti tiada usaha untuk memperkenalkan dan menjaga upaya kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun.

"Kini hanyalah yang tinggal adalah usaha-usaha 'standard' seperti menghalang organisasi dan gabungan dalam menyuarakan pandangan mereka dan kami menggesa agar kerajaan Malaysia dengan segera menarik balik deklarasi yang menyatakan bahawa COMANGO adalah suatu pertubuhan haram," katanya.