Majlis pengebumian cetus kluster baharu di Sabah

Eleanor Michelle Patrick
Jun 30, 2021 16:06 MYT
Sebuah majlis pengebumian di Beaufort telah mencetuskan kluster baharu di Sabah. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Sebuah majlis pengebumian di Beaufort telah mencetuskan kluster baharu di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.
Dikenali sebagai Kluster Limbawang, ia melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti di Kampung Gelilia Padas Damit pada 20 Jun lalu.
"Kluster ini dikesan apabila kes indeks seorang lelaki berusia 35 tahun dari Kg Kelabu disahkan positif ujian RTK-Ag di Klinik Kesihatan Padas Damit pada 21 Jun, setelah mengalami gejala demam sejak 19 Jun.
"Saringan kontak rapat masing-masing mendapati empat kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan tetamu majlis terbabit.
"Terdapat bukti penularan menerusi kontak sosial yang melibatkan ahli keluarga di empat lokaliti berbeza sekitar mukim Limbawang," katanya.
Menurut beliau, daripada 160 kontak yang telah disaring, sebanyak 21 individu disahkan positif, termasuk dua kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 30 kes.
Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata, sebanyak 242 kes baharu telah dilaporkan pada Khamis.
Sementara itu, tiga kes kematian turut direkodkan, iaitu dua di daerah Kota Belud dan satu lagi di Tawau.
"Pada hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan 99 kes baharu. Dari jumlah tersebut, sebanyak 66 kes adalah daripada saringan kluster dan 33 kes lagi adalah daripada lain-lain saringan.
"Sebanyak 51 kes berpunca daripada Kluster Tembok, Kota Kinabalu, lima kes daripada Kluster Ocean Blue, lima kes daripada Kluster Coral dan lima kes daripada Kluster Tanjung Aru Baru," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Jelasnya, Kluster Tembok Kota Kinabalu adalah kluster daripada Penjara Kepayan, manakala Kluster Ocean Blue dan Kluster Coral adalah kluster daripada pekerja-pekerja pelantar minyak (offshore).
#Kluster baharu #majlis pengebumia #Kluster Limbawang #Kampung Gelilia Padas Damit #Masidi Manjun #COVID-19