Skip to main content

Malaysia

Majlis pertunangan Bella Astillah, Syed Saddiq raih hampir 130 juta tontonan di platform Astro

TUNANG BELA ASTRO TB
Pencapaian ini turut mencerminkan perubahan cara penonton Malaysia menikmati kandungan secara omni-saluran dengan akses merentas televisyen, digital, radio dan media sosial secara serentak. - Gambar Astro

KUALA LUMPUR: Majlis pertunangan pelakon dan penyanyi Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencatat hampir 130 juta tontonan merentas pelbagai platform Astro.

Siaran langsung pada 28 Mac itu turut menarik lebih 4 juta penonton menerusi platform Astro termasuk Astro Ria, Astro AWANI, Astro Gempak, ERA, Astro GO, dan Sooka.

Advertisement

Di platform digital, acara tersebut merekodkan lebih 6.5 juta tontonan langsung sebelum meningkat kepada lebih 121 juta tontonan di media sosial dalam tempoh 24 jam.

Menurut Naib Presiden, Hiburan dan Drama Astro, Raqim Ahmad, pencapaian tersebut membuktikan kekuatan kandungan serta ekosistem Astro dalam menyatukan penonton merentas pelbagai platform.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Bella Astillah dan YB Syed Saddiq atas langkah pertama dalam perjalanan mereka bersama, serta kepercayaan yang diberikan kepada Astro untuk merakam detik penuh bermakna ini.

“Momen ini turut membuktikan kekuatan sebenar kandungan dan ekosistem Astro, di mana kandungan bergerak lancar merentas TV, digital, radio dan media sosial untuk mencipta pengalaman bersatu di seluruh negara.

“Skala penglibatan yang dicapai mencerminkan sejauh mana rakyat Malaysia berhubung dengan kisah ini, sekali gus mengukuhkan keupayaan kami dalam mengangkat detik masa nyata menjadi fenomena budaya,” katanya lagi.

Image
TUNANG BELA ASTRO INSERT
Majlis tersebut turut mencuri perhatian penonton menerusi beberapa momen penuh emosi termasuk ucapan Syed Saddiq yang menyentuh mengenai ketabahan Bella Astillah sebagai seorang wanita dan ibu. - Gambar Astro

Dalam masa sama, siaran berkenaan turut menampilkan integrasi jenama berteraskan nilai seperti SSPN yang menekankan kepentingan pendidikan dan perancangan kewangan dalam konsep hantaran.

Selain itu, beberapa rakan kerjasama turut terlibat dalam menjayakan siaran tersebut termasuk Kitsui dan Great Wall Motor (GWM).

Pencapaian ini turut mencerminkan perubahan cara penonton Malaysia menikmati kandungan secara omni-saluran dengan akses merentas televisyen, digital, radio dan media sosial secara serentak.

Astro juga memaklumkan akan terus membawakan liputan eksklusif berkaitan pasangan tersebut termasuk detik perkahwinan mereka yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Must Watch Video