KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Peguam Negara perlu meletakkan jawatan secara terhormat.

Dalam satu kenyataan Majlis Presiden PH itu memaklumkan, Tan Sri Idrus Harun dilihat tidak lagi mampu untuk menjalankan tugas rasminya secara profesional dan berkecuali (neutral) dalam menegakkan undang-undang, termasuk dalam isu memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Isu ini timbul susulan siri kenyataan umum Peguam Negara, termasuk yang terkini berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri serta kenyataan 25 Jun lalu berhubung kuasa-kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan nasihat Jemaah Menteri yang telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.

“Walaupun Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang…”, namun timbul tanda tanya apakah Peguam Negara kini boleh menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah (‘impartial’),” jelas kenyataan berkenaan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Apatah lagi apabila kita diingatkan bahawa terdapat kes-kes profil tinggi tertentu seperti YB Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei namun sehingga hari ini tiada arahan pendakwaan dari Peguam Negara.

“Ini memang luarbiasa apabila seseorang itu ditahan lebih sebulan yang lalu namun masih belum didakwa, dan semestinya menimbulkan tanda tanya samada wujud motivasi lain dengan melengahkan pendakwaan di mahkamah,” ujarnya lagi.