Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Majlis rumah terbuka Deepavali MADANI 2025 sasar kehadiran lebih 5,000 pengunjung

Bernama 13/10/2025 | 08:28 MYT
Majlis itu membawa mesej bahawa cahaya bukan sahaja simbol utama perayaan Deepavali, tetapi juga melambangkan pencerahan, harapan, dan perpaduan rakyat Malaysia dalam kerangka Malaysia MADANI. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 akan diadakan di Lot F, KL Sentral, Kuala Lumpur pada 18 Okt ini dengan sasaran kehadiran lebih 5,000 orang pengunjung.

Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis yang dianjurkan dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara itu, bakal diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo.

"Majlis ini juga menyasarkan kehadiran lebih 5,000 orang pengunjung yang terdiri daripada warga kementerian, rakan industri, komuniti setempat serta masyarakat pelbagai kaum dan agama," menurut kenyataan itu.

Dengan tema "Cahaya MADANI, Sinar Perpaduan", Kementerian Digital memaklumkan majlis itu membawa mesej bahawa cahaya bukan sahaja simbol utama perayaan Deepavali, tetapi juga melambangkan pencerahan, harapan, dan perpaduan rakyat Malaysia dalam kerangka Malaysia MADANI.

"Cahaya MADANI" merujuk kepada nilai-nilai utama Malaysia MADANI yang berteraskan ihsan, kesejahteraan dan kemanusiaan.

"Sinar Perpaduan" pula menggambarkan hasil daripada cahaya tersebut iaitu sebuah masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan saling menghormati," menurut kenyataan itu.

Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan menyemarakkan semangat Malaysia MADANI melalui pendekatan yang inklusif dan penuh makna.

"Ia menjadi platform untuk memupuk perpaduan, saling menghormati dan memperkukuh keharmonian antara kaum dan agama, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membina masyarakat bersatu dalam kepelbagaian," menurut kenyataan itu.

Kementerian Digital memaklumkan sambutan Rumah Terbuka Deepavali telah menjadi amalan tradisi pada peringkat nasional dan institusi kerajaan, sebagai lambang kemajmukan serta keharmonian rakyat Malaysia.

"Tahun ini, Kementerian Digital mengambil inisiatif untuk menjadikan majlis ini wadah memperkukuh hubungan antara warga kementerian, pihak berkepentingan industri digital dan komuniti setempat, selain memupuk semangat kebersamaan dalam suasana perayaan.

"Majlis ini juga akan menampilkan elemen budaya masyarakat India seperti hidangan tradisional, persembahan seni dan tarian kebudayaan, yang dapat dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat, mencerminkan keindahan warisan dan nilai MADANI yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

#Perayaan Deepavali Kerajaan MADANI #Cahaya MADANI #Gobind Singh Deo #Anwar Ibrahim