Ringkasan AI
- Majlis Sama’ Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 akan berlangsung di Masjid Putra dari 13 hingga 23 November ini.
- Acara ini akan dihadiri ulama antarabangsa termasuk Mufti Besar India serta Perdana Menteri dijadual merasmikan majlis penutup.
- Program anjuran Jabatan Perdana Menteri ini memberi tumpuan kepada pengajian kitab Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah serta disiarkan secara dalam talian.
PUTRAJAYA: Majlis Sama’ Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 akan berlangsung di Masjid Putra di sini bermula 13 hingga 23 Nov ini dengan kehadiran ulama antarabangsa dan tokoh ilmuan tempatan.
Antara tokoh dan ulama antarabangsa yang hadir ialah Mufti Besar India Sheikh Abubakr Ahmad, Sheikh Dr Naji bin Rashid Al-Arabi dari Bahrain dan Sheikh Dr Yasir Al Adeni dari Yaman, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dijadual menghadiri majlis penutup program berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata program edisi ketiga itu menyasarkan kehadiran ribuan peserta memandangkan ia menerima sambutan menggalakkan dalam penganjuran tahun sebelumnya.
“Jadi insya-ALLAH, kita ada para alim ulama dari seluruh dunia yang akan bersama-sama (dalam majlis itu) termasuklah ulama tempatan.
“Yang menariknya, pada majlis penutup nanti iaitu Perdana Menteri akan bersama-sama merasmikan penutupan secara rasminya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia terutama yang berada di sekitar pusat pentadbiran negara untuk menyertai program berkenaan.
“Kita mengharapkan tahun ini satu rekod baru untuk majlis ini yang bukan hanya ada kita laksanakan di Masjid Putra tetapi juga ada liputan dalam talian.
“Ia dilaksana secara dalam talian untuk memberikan ruang dan peluang kepada penduduk seluruh Malaysia mengikuti majlis ini,” katanya.
Program anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebagai penyelaras utama itu melibatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya.
Pada penganjuran kali ini, pengajian memberi tumpuan kepada kitab Jami’ al-Tirmizi dan al-Syamail al-Muhammadiyyah.
Jami’ al-Tirmizi, karya Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa al-Tirmizi, menghimpunkan hadis serta perbincangan tentang kedudukan riwayat dan pandangan ulama serta fuqaha. Al-Syamail al- Muhammadiyyah pula menghimpunkan riwayat tentang sifat fizikal, akhlak, peribadi dan kehidupan Rasulullah SAW.
Kedua-dua kitab ini memberi ruang untuk mendalami hadis secara tersusun serta memahami teladan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
-- BERNAMA