[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Majlis sambutan Aidilfitri MADANI 2025 jadi wadah satukan rakyat berbilang kaum

Bernama 04/04/2025 | 23:45 MYT
Majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kerajaan Negeri Melaka ini dijangka menjadi tumpuan lebih 5,000 rakyat daripada pelbagai kaum. - Foto BERNAMA
MELAKA: Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 peringkat kebangsaan yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini menjadi wadah menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini
Bertemakan 'Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara', ia digarap bagi mengangkat nilai ihsan serta semangat toleransi yang menjadi asas kepada kesatuan masyarakat sekali gus sebagai jambatan dalam meraikan kemajmukan budaya Malaysia dan memperkukuhkan nilai keharmonian dalam masyarakat.
Bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambutan itu juga dilihat dapat memperkukuhkan hubungan antara rakyat Malaysia dengan semangat saling menghormati, memahami dan menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi teras keharmonian negara.
Majlis Aidilfitri itu juga merupakan kesinambungan tradisi yang dianjurkan oleh Perdana Menteri sebelum ini bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.
Sesuai dengan kehangatan sambutan Aidilfitri, tetamu yang hadir dihidangkan dengan menu yang melambangkan identiti masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum seperti nasi beriani, dim sum, capati, wantan, dumpling, kambing golek serta sate.
Tidak ketinggalan juadah pelbagai negeri seperti puding raja dari Pahang, kek lapis dan mi kolok (Sarawak), kuih bakar (Melaka), rendang tok (Perak), rendang maman (Negeri Sembilan), ketupat sotong (Terengganu), burasak (Sabah), punten (Selangor), laksa utara (Perlis), laksa Johor (Johor), laksam (Kelantan), dan pasembur (Pulau Pinang).
Majlis turut disertai Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selain kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta pasangan masing-masing.
Selain itu, sambutan yang bermula pada 10 pagi hingga 4 petang itu akan turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, barisan Jemaah Menteri kerajaan Persekutuan dan Exco kerajaan negeri serta pengurusan tertinggi di peringkat Persekutuan dan negeri.
Majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Perpaduan Negara dan Kerajaan Negeri Melaka itu dijangka menjadi tumpuan lebih 5,000 rakyat daripada pelbagai kaum bukan hanya dari Melaka tetapi juga dari negeri yang berhampiran.
Untuk kemudahan pengunjung, kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma dari pekarangan Masjid Al-Alami, MITC, Mydin Ayer Keroh dan Lingkaran MITC.
Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 juga akan menjelajah ke Selangor pada 6 April, Pahang (11 April), Kelantan dan Pulau Pinang (12 April), Sarawak (19 April), Perak (25 April) serta Perlis (27 April).
-- BERNAMA
#Aidilfitri MADANI 2025 #perpaduan #MITC Ayer Keroh Melaka #Anwar Ibrahim