KUALA LUMPUR: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memohon untuk diadakan satu pertemuan bagi membincangkan isu mengenai pendaftaran pemilih automatik dan Undi18.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook berkata beliau yakin bukan sahaja DAP, malah banyak parti politik merasa kecewa dengan ketetapan SPR bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada umur 18 tahun, dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022 disebabkan pelbagai kekangan.

Beliau berkata keputusan SPR itu seolah-olah tidak menghormati institusi Parlimen sebab perkara itu telah dibincangkan serta dipinda perlembagaan sejak 2019, dan ketika itu ia dikatakan perlu mengambil masa dua tahun untuk melaksanakannya, dengan tempoh sepatutnya ialah pada Julai 2021.

"Pada peringkat PH kita akan terus bagi tekanan. Majlis Setiausaha PH juga berharap dapat berjumpa dengan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh agar kita boleh menyatakan bahawa ia tidak sepatutnya dilengahkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvensyen Biasa Negeri DAP Terengganu, di sini hari ini.

Dalam konvesyen hari ini, mesyuarat yang julung kalinya diadakan di Terengganu itu telah memilih 15 ahli jawatankuasa negeri, dan sehinggi kini DAP mempunyai lebih 1,000 ahli di Terengganu.

-- BERNAMA