Makan suap RM5,000 setiap bulan, lagi penguat kuasa JPJ ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Mac 19, 2021 06:02 MYT
Pembantu penguat kuasa itu disyaki menerima rasuah daripada proksi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang melanggar undang-undang. - Astro AWANI
KANGAR: Seorang lagi pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes penerimaan suapan dianggar berjumlah RM88,000.
Perintah reman yang berkuat kuasa sehingga 21 Mac itu dikeluarkan Majistret Kamaliza Md Zain di sini hari ini.
Pembantu penguat kuasa itu disyaki menerima rasuah daripada proksi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori yang melanggar undang-undang.
Penahanan suspek berusia 54 tahun itu dibuat susulan tangkapan dua pembantu penguat kuasa JPJ Perlis, terdahulu pada Selasa.
Dia dipercayai menerima suapan dianggarkan sebanyak RM5,000 setiap bulan, berdasarkan transaksi proksi berkenaan, bermula dari 2018 hingga 2019.
Terdahulu, suspek ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis pada jam 5.40 petang semalam menerusi Op Sukat SPRM selepas dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes itu.
BACA: JPJ sahkan 32 anggota ditahan disyaki terbabit rasuah
Sementara itu, perintah reman terhadap dua pembantu penguat kuasa JPJ Perlis yang berakhir hari ini disambung sehingga Ahad.
Sehingga kini, empat individu termasuk seorang orang awam ditahan bagi membantu siasatan berkenaan kes berkenaan di Perlis.
#Perlis #Rasuah #JPJ #suspek #SPRM #siasatan #undang-undang #Lori #suapan #proksi #pembantu penguat kuasa #reman #Op Sukat SPRM #pemandu lori