Makanan Malaysia mudah didapati di Makkah

Bernama
Jun 2, 2023 22:07 MYT
Jemaah haji yang berada di sekitar Masjidil Haram juga boleh mendapatkan hidangan Malaysia di restoran D'Saji di Safwa Tower di Makkah. - Foto BERNAMA
MAKKAH: Selain makanan yang disediakan Tabung Haji (TH), pelbagai pilihan juadah cita rasa tanah air boleh diperoleh jemaah haji di kota Makkah al-Mukarramah.
Nasi lemak, nasi kerabu, roti canai, laksam, kuih-muih dan teh tarik antara menu yang terdapat di sini bagi memenuhi selera para jemaah Malaysia.
TH menerusi TH Travel Services menawarkan perkhidmatan kafeteria di sembilan maktab penginapan yang beroperasi bermula 4.30 pagi hingga 11.30 malam setiap hari.
Petugas kafeteria Mohd Haruji Mohd Yahya berkata pelbagai produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut dijual seperti kicap, sos cili dan sambal yang dibawa dari Malaysia.
"Kita membawa tukang masak dari Malaysia dan roti canai juga ditebar di kafeteria," katanya ketika ditemui di sini.
Seorang jemaah haji, Azizi Alias, 49, dari Peringat, Kelantan berkata dia boleh mendapatkan juadah dengan selera pantai timur di kafeteria di bangunan penginapan Abraj Al-Janadriyyah di sini, sesuai dengan cita rasanya.
Dalam pada itu, jemaah haji Malaysia yang berada di sekitar Masjidil Haram juga boleh mendapatkan hidangan Malaysia di restoran D'Saji di Safwa Tower di sini yang menyajikan antaranya nasi lemak, ayam masak merah dan mi goreng.
-- BERNAMA
#makanan Malaysia di Makkah #jemaah haji #TH Travel Services #Tabung Haji