MALAYSIA

Makanan, minuman edisi terhad semarak sambutan Bulan Kebangsaan

Bernama 22/08/2025 | 02:48 MYT
Tunku Ali berkata, Coolblog Malaysia akan memberikan 10,000 cawan Teh Tarik Ais secara percuma kepada pelanggan yang melaungkan "I Love Malaysia" di cawangan terpilih seluruh negara pada 31 Ogos ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Setiap kali Ogos menjengah bukan sahaja Jalur Gemilang megah berkibar atau gema lagu patriotik membangkit semangat, malah akan muncul makanan yang sinonim dengan identiti Malaysia dalam pelbagai bentuk sajian edisi terhad untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

Trend menarik ini menyaksikan pelbagai jenama makanan dan minuman tempatan memperkenalkan menu yang diinspirasikan daripada cita rasa klasik Malaysia sama ada dalam bentuk pencuci mulut, minuman mahupun sajian utama.

Antara yang unik ais krim berperisa kuih talam, kopi dan teh susu berperisa durian, serta gabungan barat dan timur seperti burger rendang ayam, pasta masak lemak makanan laut, dan nasi lemak fish and chips.

Selain itu, diskaun eksklusif untuk tempoh terhad turut rancak ditawarkan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 Sept.

"Saya bangga apabila jenama besar gunakan rasa tempatan seperti kuih talam atau durian. Ia buat orang luar seperti pelancong pun tahu kita ada identiti sendiri dan menjadikan negara kita unik," katanya.

Penjawat awam, R. Kumar, 33, pula berpendapat bahawa patriotisme tidak hanya dizahirkan menerusi kata-kata atau kibaran bendera, sebaliknya makanan juga menjadi sebahagian daripada identiti dan jati diri rakyat Malaysia.

"Kalau kita ke luar negara dalam tempoh lama mesti akan rindu makanan seperti nasi lemak, roti canai, dan teh tarik menunjukkan betapa kuatnya makanan sebagai medium menyatukan dan mengingatkan kita tentang asal usul serta budaya negara," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Bryan Loo berkata jenama Tealive memperkenalkan siri minuman durian yang diinovasi untuk meraikan raja buah itu yang sinonim dengan Malaysia di samping menepati cita rasa pengguna masa kini.

"Durian antara simbol penyatuan rakyat Malaysia yang terkenal dan menerima sambutan di dalam serta luar negara. Sempena Hari Kebangsaan, kami menzahirkan rasa bangga tersebut melalui minuman istimewa yang memikat, luar biasa dan mencerminkan identiti Malaysia," katanya.

Pengerusi Coolblog Malaysia Tunku Ali Redhauddin pula berkata jenama tersebut akan memberikan 10,000 cawan Teh Tarik Ais secara percuma kepada pelanggan yang melaungkan "I Love Malaysia" di cawangan terpilih seluruh negara pada 31 Ogos ini.

"Sebagai jenama tempatan yang berjiwa Malaysia, kami teruja mengajak masyarakat bersama-sama meraikan semangat cintakan negara melalui inisiatif istimewa ini," menurutnya dalam kenyataan.

-- BERNAMA



#Jalur Gemilang #Sambutan Bulan Kebangsaan #makanan dan minuman edisi terhad #Tunku Ali Redhauddin