MALAYSIA

Makanan, peralatan tercemar punca keracunan peserta program hari keluarga di Selangor

Bernama 07/11/2025 | 15:51 MYT
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan kes keracunan tersebut berpunca daripada pencemaran pada makanan dan peralatan memasak yang digunakan. - Foto hiasan
SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan kes keracunan makanan melibatkan peserta program hari keluarga sebuah agensi kerajaan di taman tema di Petaling Jaya di sini pada 4 Okt lepas, berpunca daripada pencemaran pada makanan dan peralatan memasak yang digunakan.

Dalam satu kenyataan JKNS memaklumkan pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling telah menerima notifikasi kejadian itu pada 6 Okt sebelum melakukan siasatan lanjut terhadap insiden itu.

Menurut kenyataan itu hasil siasatan awal dan pengesanan kes aktif mendapati 322 individu daripada 4,710 orang yang terdedah (6.8 peratus) telah mengalami gejala cirit-birit, muntah, dan sakit perut.

"Majoriti kes atau 92 peratus melibatkan golongan dewasa manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.

"Semua kes telah mendapatkan rawatan dan tiada kes dimasukkan ke wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiada kematian dilaporkan," menurut JKNS.



JKNS-KERACUNAN MAKANAN 2 SHAH ALAM



Kenyataan itu susulan daripada laporan media dan maklumat yang tular di media sosial berhubung kejadian keracunan makanan yang didakwa berlaku di sebuah taman tema di negeri ini melibatkan lebih 800 petugas dan ahli keluarga agensi kerajaan ketika menghadiri hari keluarga di pusat pelancongan tersebut pada 4 Okt lepas.

JKNS memaklumkan siasatan lanjut mendapati antara faktor penyumbang kepada insiden itu ialah penyediaan makanan dalam kuantiti besar oleh bilangan pengendali yang terhad, tempoh penyimpanan makanan yang panjang sebelum dihidangkan, serta kemungkinan berlaku pencemaran silang semasa proses penyediaan.

Menurut kenyataan itu hasil penilaian risiko mendapati kejadian keracunan makanan tersebut berpunca daripada makanan yang tercemar dari premis dapur taman tema berkenaan.

"Sebagai langkah kawalan dan pencegahan, JKNS telah mengambil tindakan menutup premis dapur taman tema tersebut bagi tujuan pembersihan dan basmi kuman.

"Penutupan keseluruhan taman tema tidak dilaksanakan kerana punca keracunan makanan bukan daripada faktor persekitaran di taman tema itu," menurut kenyataan itu.



JKNS-KERACUNAN MAKANAN 3 (AKHIR) SHAH ALAM



JKNS memaklumkan premis dapur taman tema itu telah dibenarkan beroperasi semula setelah disahkan bersih dan mematuhi semua keperluan keselamatan makanan.

Selain itu, JKNS turut melaksanakan komunikasi risiko serta sesi libat urus bersama pihak pengurusan taman tema dan penganjur program bagi memperkukuh amalan kebersihan makanan.

"Makluman turut diberikan kepada Pejabat Kesihatan Daerah dan negeri lain bagi membantu pengesanan dan pemantauan kes bergejala," menurut kenyataan itu.

Dalam hal itu, JKNS menasihatkan semua pengendali makanan supaya mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, serta memastikan amalan kebersihan dan keselamatan makanan diberi keutamaan di setiap peringkat penyediaan.

"Orang ramai juga perlu berhati-hati dalam memilih premis makanan yang bersih, mengamalkan konsep 'lihat, hidu dan rasa' sebelum makan serta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah, atau sakit perut selepas mengambil makanan yang dibeli," menurut JKNS.

-- BERNAMA

#Jabatan Kesihatan Negeri Selangor #keracunan makanan #hari keluarga #Taman Tema