Keadaan kesihatan badak sumbu betina terakhir hidup di Malaysia masih tidak berubah sejak mengalami pendarahan daripada tumor dalam rahimnya dipercayai telah pecah pada 14 Dis.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata badak sumbu Sumatera itu yang diberi nama Iman diberi 15 liter cecair semalam dan 10 liter lagi hari ini serta makanan tambahan sementara antibiotk, ubat penghilang kesakitan, vitamin K dan pelindung gastrik diberi secara intravena.

"Iman membuang air besar dua kali hari ini dan membuang air kecil tetapi dia hanya memakan tiga batang daun dan minum sedikit.

"Dia tidak mahu memakan buah-buahan seperti pisang, betik dan mangga dan minum hanya sedikit air," kata beliau dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Tuuga berkata badak sumbu itu masih mengalami pendarahan dalam rahimnya sebahagian darah beku didapati telah mengalir keluar dari tubuhnya.

Walaupun begitu, beliau berkata Iman masih aktif bergerak dalam kandangnya pada waktu malam.

Doktor veterinar yang menjaga badak sumbu itu di Rizab Hidupan Liar di Lahad Datu akan mula memberi ubat dikenali sebagai Diazepam untuk merangsang nafsu makannya, kata beliau.

Iman dikesan menghidap tumor leiomyoma di rahim apabila dia mula mengalamai pendarahan.

Iman ialah salah seekor daripada dua badak sumbu betina di negara ini selepas kematian Puntung akibat kanser kira-kira enam bulan lalu. -- Bernama