MALAYSIA
Makmal proses jus dadah, vape bernilai RM27 juta tumpas

Hussein Omar berkata, jumlah dadah yang dirampas itu mampu diedarkan kepada tiga juta penagih jika terlepas ke pasaran gelap. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Polis menumpaskan kegiatan sindiket memproses cecair vape dan jus yang mengandungi dadah, dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Selangor minggu lalu, dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM27 juta.
Ringkasan AI
- Polis Selangor menumpaskan dua sindiket dadah yang memproses cecair vape dan jus mengandungi dadah, dengan rampasan bernilai lebih RM27 juta dalam serbuan berasingan sekitar Selangor pada 25 dan 26 Jun 2025.
- Sebanyak 18 individu ditahan termasuk warga Taiwan dan Vietnam, dengan sindiket dikesan menggunakan rumah teres dan kondominium mewah sebagai makmal memproses dadah sintetik seperti MDMA, kokain, ketamin dan ganja.
- Dadah diproses dijual secara fizikal kepada pelanggan tertentu, termasuk ke luar negara, dan tidak dijual dalam talian bagi mengelak dikesan; jumlah rampasan dianggarkan mampu menampung 3 juta penagih jika terlepas ke pasaran.
Beliau memberitahu, kedua-dua sindiket yang aktif sejak Oktober dan Disember tahun lalu dikesan memproses dadah sintetik seperti Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), kokain, ketamin dan ganja ke dalam bentuk jus serta vape sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara.
"Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan menggunakan rumah teres dan kondominium mewah yang disewa sebagai makmal untuk memproses bahan terlarang tersebut.
"Jus dan cecair vape ini nampak seperti produk biasa, tetapi sebenarnya mengandungi dadah dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu, termasuk ke luar negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, pada Selasa.
Hussein memberitahu, bagi mengelak aktiviti mereka dikesan, suspek mengelak daripada menjual bekalan itu dalam talian.
"Produk itu dipercayai hanya dijual secara fizikal melalui ejen dan penghantar ke lokasi seperti pusat hiburan serta parti tertutup," jelasnya.
Menjelaskannya, menerusi Op Aspen, polis melakukan enam serbuan secara serentak di sekitar Selangor pada 26 Jun lalu dan menahan 13 individu berusia antara 20 hingga 41 tahun termasuk seorang wanita warga Vietnam.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket dipercayai aktif sejak Disember 2024 dengan peranan utama dimainkan oleh empat ahli kimia, seorang pembantu serta enam penghantar yang menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM25,000 sebulan.
Dalam serbuan itu kata beliau, polis merampas 689.24 kilogram cecair MDMA, serbuk MDMA (1.68kg), ketamin (25.4kg), pil ekstasi (5.3kg) dan pil Erimin 5 (0.726kg), yang dianggarkan bernilai RM5.03 juta.
Sementara itu dalam satu lagi serbuan dikenali Op Araucaria yang dijalankan pada 25 Jun lalu, membawa kepada dua serbuan di kondominium mewah di Ampang yang dijadikan makmal memproses dadah dalam bentuk vape.
Hussein memberitahu, dalam serbuan itu, polis menahan lima suspek berusia 20 hingga 37 tahun, termasuk tiga lelaki warga Taiwan, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam.
"Rampasan membabitkan 124.74kg cecair MDMA, serbuk kokain (2.8kg), bunga ganja (0.041kg) serta kartrij vape mengandungi dadah MDMA dan kokain (0.197kg) dengan nilai pasaran RM21.39 juta," katanya.
Tambah Hussein, siasatan mendapati dua suspek warga Taiwan mempunyai rekod jenayah di negara asal membabitkan kes dadah, ugutan, penipuan dan kecederaan.
"Sindiket dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu dan memperoleh keuntungan lebih RM200,000 sebulan.
Kesemua suspek terbabit direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami