Empat anggota Masyarakat Orang Asli dari penempatan Pos Poi di Sungai Siput yang disahkan positif malaria telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKAO) Perak, Hairulnizam Abdul Rahman berkata bagaimanapun dua lagi masih ditahan di Hospital Besar Kuala Kangsar.

"Yang disahkan positif malaria dari kampung itu sejak 9 Disember lalu adalah enam orang kesemuanya dan empat telah dibenarkan pulang. Hanya dua masih dirawat.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan memantau keadaan di penempatan ini supaya ia tidak merebak," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Penularan wabak malaria mula dikesan di pemempatan Orang Asli di Pos Kemar, Gerik pada 21 November dan sehingga kini jumlah pesakit yang dijangkiti meningkat.

Kebimbangan mengenai penularan wabak malaria menjadi perhatian apabila penempatan Orang Asli di Pos Poi Sungai Siput turut dikesan apabila enam Orang Asli disahkan positif malaria pada 6 Disember.

Dengan kes terbaru ini, jumlah keseluruhan pesakit malaria adalah 142 dengan 136 dari Pos Kemar, Gerik.

Sementara itu masyarakat di Sungai Siput dinasihatkan untuk mengelak dari berada di lokasi panas atau 'hotspot' terutama kawasan yang telah dikesan mempunyai jangkitan malaria.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun berkata, kawasan tersebut perlu dijauhi sebagai langkah pencegahan bagi memastikan wabak malaria tidak menular ke kawasan lain.

Beliau menyuarakan nasihat tersebut berikutan bimbang dengan perkembangan terbaharu di mana kes malaria telah dikesan penempatan Orang Asli Pos Poi.

Beliau turut meminta orang awam tidak melakukan sebarang aktiviti berhampiran perkampungan Orang Asli itu kerana bimbang dijangkiti wabak tersebut.

"Sebelum ini kes malaria telah dikesan di Pos Kemar dan kini di Pos Poi pula. Apa yang saya faham, kedua-dua kes itu tiada kaitan kerana ianya adalah jenis parasit berbeza.

“Tapi hakikatnya wabaknya masih sama iaitu malaria. Jadi saya minta penduduk di kawasan berhampiran kampung itu juga berjaga-jaga,mulakan dengan langkah pencegahan awal iaitu tidur di dalam kelambu, pastikan kebersihan kawasan rumah dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya Pejabat Khidmat ADUN Sungai Siput akan sentiasa memantau keadaan di sekitar Pos Poi bagi memastikan wabak tersebut tidak merebak ke tempat lain pula.

Zolkafly berkata, beliau juga akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan bagi membincangkan bentuk bantuan yang boleh diberi bagi membendung wabak itu.

"Mungkin kita akan minta Jabatan Kesihatan melakukan semburan asap dan kaedah lain sebagai usaha mengawal penyebaran wabak itu dan setakat ini, jumlah tersebut telah berkurangan daripada enam ke empat kes.

"Cuma nasihat saya penduduk yang mempunyai simptom demam dengan mengalami panas dan sejuk badan diharap terus ke hospital. Jangan tunggu hingga melarat baru mahu jumpa doktor," ujarnya lagi.