[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Malaysia Airports pastikan perjalanan penumpang lancar sepanjang musim perayaan

Bernama 26/05/2019 | 22:00 MYT
Syarikat penerbangan tempatan di kedua-dua Terminal Utama KLIA dan klia2 menambah lebih 500 penerbangan dalam tempoh puncak untuk memenuhi peningkatan jumlah penumpang domestik dan antarabangsa. - Gambar hiasan
Malaysia Airports dan semua pihak berkepentingan di lapangan terbang akan berusaha memastikan penumpang yang menggunakan lapangan terbang itu menikmati perjalanan yang selamat dan lancar ketika tempoh puncak mulai hari ini sehingga 10 Jun.
Tempoh puncak itu adalah berikutan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Gawai dan Kaamatan serta cuti sekolah.
Dalam kenyataan pada Ahad, syarikat itu berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka mencatat pergerakan 100,000 penumpang sehari di setiap terminalnya sepanjang tempoh ini dengan peningkatan tiga peratus berbanding tahun lepas.
Syarikat penerbangan tempatan di kedua-dua terminal iaitu Terminal Utama KLIA dan klia2 menambah lebih 500 penerbangan dalam tempoh itu untuk memenuhi peningkatan jumlah penumpang domestik dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata semua titik sentuh kritikal dan kemudahan seperti pengurusan trafik, ruang letak kereta, kaunter daftar masuk, tempat pemeriksaan utama, imigresen, kastam, tandas, Aerotrain dan tuntutan semula bagasi telah diletakkan di tahap berjaga-jaga dengan penambahan kakitangan di bahagian tersebut.
Beliau berkata penumpang juga boleh memanfaatkan aplikasi mudah alih MYairports untuk merancang perjalanan ke lapangan terbang bagi membolehkan mereka memandu arah perjalanan dari rumah ke pintu pelepasan dengan lebih cepat.
-- BERNAMA
#aplikasi #hari raya #Imigresen #KLIA #KLIA2 #lapangan terbang #Malaysia Airports #MYairports #penerbangan #penumpang #Raja Azmi Raja Nazuddin #tempoh puncak #Terminal #titik sentuh kritikal