NATIONAL
Malaysia akan terus perjuang keadilan buat Gaza - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan buat Gaza dan menentang penjajahan Israel. - Gambar fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan buat Gaza dan menentang penjajahan Israel.
Ringkasan AI
- Malaysia akan terus memperjuangkan keadilan untuk Gaza dan menentang penjajahan Israel.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata banyak negara gagal bersuara lantang, menunjukkan kemunafikan dalam sistem politik dunia.
- PKR menghargai semua pihak yang menyokong Palestin dan menegaskan komitmen menentang segala bentuk penjajahan.
"Paling akhir, ada usaha-usaha negara Eropah untuk menyekat penjualan senjata yang baharu ke Gaza. Agak terlambat (kerana) 50,000 wanita dan kanak-kanak yang hari-hari semasa lulus bantuan kemanusiaan, hari itu juga dibom, dunia kelu," katanya.
Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata demikian dalam ucapan penggulungan sebelum menangguhkan Kongres Nasional PKR 2024/2025 yang berakhir hari ini.
Beliau berkata PKR menghargai pihak yang mempunyai pendirian menyuarakan keadilan terhadap nasib Palestin termasuk kenyataan Paus Leo XIV yang menyeru agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Semenanjung Gaza.
"Kenyataan pertama itu kadang-kadang suaranya itu lebih hebat daripada pemimpin Islam yang lain.
"Jadi, kita akan terus perjuangkan keadilan dan hak menentang penjajahan, penjajahan mana-manapun kita tentang termasuk penjajahan Israel ke atas bumi Gaza," katanya.
Agensi berita Anadolu pada 13 Mei melaporkan sekurang-kurangnya 52,908 rakyat Palestin maut dalam serangan genosid yang dilancarkan Israel sejak Oktober 2023.
Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana melakukan serangan di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami